Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

121) SYARIKAT BARU PENGURUSAN SAMPAH

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan satu syarikat baru pengurusan sampah bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sampah dan tidak dimonopoli oleh KDEB sahaja?

    Kerajaan Negeri melalui MMKN Ke 7/2016 telah meluluskan cadangan pewujudan dan melantik Private Management Company (PMC) kepada Kerajaan Negeri bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membantu Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Negeri Selangor setelah Kerajaan Negeri mengadakan dua (2) siri kajian bagi menilai keberkesanan serta prestasi perkhidmatan pengurusan kutipan sisa pepejal di semua kawasan PBT. Antara rumusan penemuan bagi kedua-dua kajian ini adalah seperti berikut:-

    1. Proses penilaian kontraktor sedia ada tidak memuaskan;
    2. Tiada penyeragaman skop tender dan kerja;
    3. Lori sisa pepejal yang tidak bersesuaian digunakan dan tidak diselenggara dengan baik;
    4. Pekerja tidak mengenakan pakaian seragam dan mengabaikan aspek keselamatan serta kebajikan;
    5. Data pengurusan sisa pepejal yang amat lemah; dan
    6. Pengurusan pusat aduan permasalahan (hotline) yang kurang memuaskan dan tidak menyeluruh.

     

    Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk mewujudkan satu syarikat baru kerana Kerajaan Negeri telah mewujudkan PMC milikan Kerajaan Negeri dengan melantik syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad Sdn. Bhd. (KDEBWM) sebagai PMC dengan tujuan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bersepadu secara holistik di seluruh Negeri Selangor. Objektif utama perlantikan sebuah syarikat GLC milik Kerajaan Negeri ini adalah:-

    1. Bagi memastikan kualiti dan mutu perkhidmatan yang standard di semua PBT di Negeri Selangor diberikan tanpa mengira sama ada PBT tersebut bertaraf bandaraya, perbandaran atau daerah kerana sebelum ini, setiap PBT menguruskan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam mereka sendiri dan ini menyebabkan kualiti serta mutu perkhidmatan di setiap PBT adalah berbeza-beza mengikut kemampuan kewangan PBT masing-masing; dan
    2. Model PMC ini juga membolehkan semua urusan berkenaan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam dipusatkan (centralized) kepada satu entiti milik penuh Kerajaan Negeri iaitu KDEBWM;

     

    Berkenaan dengan isu monopoli, perkara ini perlu dilihat dari perspektif yang berbeza dan tidak seharusnya dianggap sebagai memonopoli industri ini kerana KDEBWM juga sehingga ke hari ini telah melantik lebih 1,000 syarikat sebagai sub-kontraktor bagi kerja-kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di seluruh Negeri Selangor melalui proses tender terbuka dan pemilihan juga dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian Tender berdasarkan kriteria pemilihan yang ketat dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah KDEBWM. KDEBWM juga tertakluk kepada Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun Dan Anak Syarikat (JP-ABAS) dan mereka boleh dipanggil untuk memberikan penjelasan sekiranya terdapat sebarang isu-isu berbangkit. Justeru, KDEBWM seharusnya dilihat sebagai sebuah GLC yang telah diberikan mandat untuk menguruskan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi pihak Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.