Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

209) SYARAT PEMBINAAN LEBUHRAYA BARU DI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah lebuhraya swasta yang bakal dibina di negeri Selangor?

    Berdasarkan Pelan Induk Rangkaian Jalan Raya 2030 (HNDP 2030) yang telah disediakan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia, terdapat 26 Projek Lebuhraya dan Jalan yang telah dicadangkan di Negeri Selangor iaitu meliputi 8 projek menaik taraf jalan dan lebuhraya sediada dan 18 projek cadangan jalan dan lebuhraya baharu.

    Namum begitu berdasarkan pemantauan yang dilaksanakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan

    Lebuhraya dan Projek Infrastruktur di dalam Negeri Selangor sehingga kini hanya enam (6) lebuhraya berstatus dalam pembinaan seperti berikut:

    1. Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat Taiping – Banting (WCE)
    2. Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE)
    • Lebuhraya Damansara Shah Alam (DASH)
    1. Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE)
    2. Lebuhraya Putrajaya – KLIA (MEX II)
    3. Lebuhraya Setiawangsa Pantai (SPE)

    Manakala empat (4) lebuhraya dalam peringkat perancangan dan masih belum mendapatkan kelulusan Kerajaan Negeri adalah seperti berikut:

    1. Putrajaya – Bangi Expressway (PBE)
    2. Petaling Jaya Traffic Dispersal Link (PJD Link)
    • Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway (KL Node)
    1. Sungai Klang Link (SKL)
  2. Adakah Kerajaan Persekutuan berbincang dengan Kerajaan Negeri tentang feasibiliti dan keperluan lebuhraya baru tersebut?

    Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sentiasa melaksanakan perbincangan berkenaan feasibiliti dan keperluan pembinaan lebuhraya berkenaan melalui beberapa mesyuarat jawatankuasa seperti Mesyuarat Jawatankuasa Penswastaan Kementerian Kerja Raya (JKPKKR) serta Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Awam Swasta (JKAS). Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Lebuhraya dan Projek Infrastruktur di dalam Negeri Selangor sentiasa melaksanakan pemantauan awal terhadap cadangan pelaksanaan pembangunan lebuhraya baharu di Negeri Selangor.

  3. Apakah syarat-syarat yang bakal ditetapkan oleh Kerajaan Negeri untuk pemegang-pemegang konsesi lebuhraya baru tersebut?

    Kerajaan Negeri melalui Majlis Tindakan Ekonomi Selangor pada 9 Februari 2022 dan telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 6/2022 pada 16 Februari 2022 telah meluluskan penerimapakaian Carta Alir Proses Perancangan Pembangunan Lebuhraya dan Infrastruktur Utama di Negeri Selangor.

    Berdasarkan carta alir tersebut, cadangan pembangunan lebuhraya baharu perlu dibentangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Lebuhraya dan Projek Infrastruktur di dalam Negeri Selangor sebagai tapisan awal sebelum sesuatu cadangan lebuhraya berkenaan dibawa kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) bagi mendapatkan persetujuan awal di peringkat negeri.

    Peringkat seterusnya cadangan lebuhraya baharu yang telah mandapat kelulusan prinsip dari Jemaah Menteri perlu dibawa semula kepada MTES bagi kali kedua untuk mendapatkan kelulusan dasar dan akan disyaratkan untuk penyediaan Environment Impact Assessment (EIA), Social Impact Assessment (SIA) dan Traffic Impact Assessment (TIA).

    Setelah selesai penyediaan dan mendapatkan kelulusan teknikal ke atas EIA, SIA dan TIA, cadangan lebuhraya baharu berkenaan akan dibentangkan semula kepada MTES untuk kali ketiga. Pada peringkat ini, MTES akan menilai dan memutuskan kelulusan prinsip kepada lebuhraya baharu berkenaan. Melalui MTES ini juga tatacara pemprosesan permohonan sama ada secara rundingan di bawah Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) atau melalui kelulusan kebenaran merancang secara konvensional akan disyaratkan dengan mengambil kira penyelesaian perihal tanah terlebih dahulu.

Lampiran

Tiada Lampiran.