Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
118) SYABAS MAHU SAMAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah yang dituntut Syabas terhadap Negeri Selangor?
Di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS, terdapat peruntukkan bahawa SYABAS boleh menuntut kenaikan tarif air setiap tiga tahun tertakluk kepada syarat bahawa SYABAS telah mematuhi semua kehendak di dalam Perjanjian Konsesi. Kenaikan tarif yang baru sepatutnya berkuat kuasa pada Januari 2009. Sebelum tarif baru dikuatkuasakan, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor perlu bersetuju kepada kenaikan tersebut. Sekiranya kenaikan tarif air tidak dipersetujui, maka Kerajaan Negeri Selangor perlu membayar pampasan kepada SYABAS mengikut formula yang telah ditetapkan di dalam Perjanjian Konsesi. Bagi kenaikan tarif untuk tahun 2009, Kerajaan Negeri Selangor tidak bersetuju dengan sebarang kenaikan tarif sebagaimana yang dipohon oleh SYABAS. Lanjutan dari tidak mendapat persetujuan Kerajaan Negeri Selangor, maka SYABAS bercadang untuk menyaman Kerajaan Negeri. Namun demikian, Kerajaan Negeri Selangor masih belum menerima sebarang writ saman dari SYABAS.
Semenjak SYABAS mengambil alih operasi Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) pada 01 Januari 2005, banyak perubahan yang telah dilakukan oleh SYABAS dalam memberikan khidmat yang lebih efisien kepada pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Dalam melaksanakan perkhidmatan tersebut, matlamat SYABAS sebagai sebuah entiti perniagaan adalah untuk mendapatkan keuntungan. Di dalam perjanjian SYABAS telah diperuntukkan jadual kenaikan tarif setiap tiga tahun. Kenaikan tarif ini membebankan pengguna. Di dalam membenarkan kenaikan tarif yang dituntut oleh SYABAS, SYABAS perlu mematuhi beberapa kehendak di dalam perjanjian konsesi.
Namun demikian, dalam Laporan Audit yang diterima oleh Kerajaan Negeri Selangor, terdapat beberapa perkara yang tidak dicapai oleh SYABAS seperti penurunan Kadar Air Tidak Berhasil (Non Revenue Water). Pada masa yang sama Kerajaan Negeri Selangor juga mendapat maklum bahawa Perbelanjaan Modal (Capital Expenditure) dan Perbelanjaan Operasi (Operational Expenditure) yang dibelanjakan oleh SYABAS adalah terlalu tinggi. Faktor ini mempengaruhi kenaikan tarif yang tinggi.
SYABAS wujud melalui penswastaan Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS). Sebagai sebuah syarikat swasta, keuntungan masih merupakan matlamat utama di dalam setiap perniagaan, termasuk bagi SYABAS. Manakala bagi Kerajaan Negeri Selangor, keuntungan bukanlah matlamat utama di dalam industri perkhidmatan air sebaliknya penetapan kadar tarif yang munasabah di samping menyediakan perkhidmatan pembekalan air yang efisien adalah menjadi matlamat utama. Dalam mencapai hasrat untuk Merakyatkan Ekonomi Selangor, kepentingan rakyat adalah merupakan keutamaan di dalam setiap perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor termasuk di dalam perkhidmatan air.
Oleh sebab terdapat jurang perbezaan di dalam matlamat SYABAS dan Kerajaan Negeri Selangor di dalam memberikan perkhidmatan bekalan air, jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor. Melalui penstrukturan semula ini, operator perkhidmatan air yang baru dapat diujudkan di mana operator air tersebut adalah terdiri dari syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Sebagai sebuah syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri, kawalan secara langsung dapat diberikan oleh Kerajaan Negeri. Ditambah pula dengan adanya pengawasan dan pengawalan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pemantauan ke atas prestasi operator akan dapat dilaksanakan lebih teratur dan berkesan terutamanya ke atas aspek ekonomi, teknikal, sosial dan perlindungan pengguna. Ini dapat mengujudkan sistem tadbir urus yang lebih cekap dan telus di mana kepentingan rakyat akan diberi perhatian utama. Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor dapat direalisasikan di bawah struktur baru ini.
Struktur baru ini dapat mengujudkan perkhidmatan air yang mapan berpandukan kepada pendekatan yang holistik. Keadaan ini akan mendorong pengurusan perkhidmatan air menjadi berdaya maju serta pengurusan kitaran air yang lebih cekap bagi mengoptimumkan penggunaan sumber dan infrastruktur. Dengan ini, kualiti air yang baik dapat dikekalkan untuk diberikan kepada pengguna. Kos operasi dapat dikurangkan kerana operator yang dilantik di bawah penstrukturan semula ini tidak bermatlamatkan keuntungan sebaliknya pulangan yang telah ditetapkan kepada operator tersebut adalah antara 0% hingga 1% sahaja.
Di bawah struktur baru ini, operator akan beroperasi secara asset light di mana pembiayaan ke atas perbelanjaan modal (CAPEX) akan dibuat oleh Pengurusan Aset Air Berhad. Operator yang baru ini akan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan. Ini akan dapat meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam operasi perkhidmatan air.
Dengan pelaksanaan penstrukturan ini rakyat Negeri Selangor tidak lagi dibebankan dengan kenaikan tarif air yang melampau. Sebaliknya melalui syarikat yang dimiliki dan dikawal secara langsung oleh Kerajaan Negeri Selangor, segala sumber yang diperoleh akan digunakan untuk memastikan rakyat membayar kadar air yang rendah dan terus menikmati inisiatif pemberian 20m3 air percuma.
Namun demikian, di dalam melaksanakan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor, ia menjurus kepada proses deprivatisation yang akan melibatkan bukan sahaja SYABAS mala kesemua Pemegang Konsesi Air di Selangor iaitu SPLASH, ABASS dan Puncak Niaga. Deprivatisation akan melibatkan penamatan perjanjian konsesi sedia ada. Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undangundang dan tiada undang-undang yang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.
Oleh yang demikian, dalam melaksanakan pengambilalihan semula perkhidmatan bekalan air dari Pemegang Konsesi, Kerajaan Negeri adalah tertakluk kepada terma dan syarat perjanjian di mana sejumlah pampasan perlu untuk disediakan untuk dibayar kepada Pemegang Konsesi. Sekiranya Pemegang Konsesi tidak dibayar pampasan yang setimpal, perkara ini boleh mendedahkan Kerajaan Negeri kepada tindakan undang-undang dan pada masa yang sama Kerajaan Negeri boleh dianggap bertindak bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.
-
Apakah yang dianggap tidak wajar oleh Negeri Selangor terhadap Syabas?
-
Apakah jalan terbaik bagi Syabas dan Kerajaan Negeri Selangor bagi menyelesaikan permasalahan?