Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

103) SYABAS DAN PENGURUSAN AIR

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah terdapat geran Bantuan kepada usaha menyaman Syabas oleh rakyat?

    Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan peruntukan geran bantuan kepada usaha yang dibuat oleh rakyat untuk menyaman Syabas. Justeru itu, manamana individu yang bercadang untuk menyaman SYABAS perlulah mengemukakan permohonan geran tersebut kepada Kerajaan Negeri.

  2. Apakah pihak Kerajaan Negeri mengenal pasti tindakan-tindakan Syabas yang melanggari perjanjian konsesi dan boleh menyebabkan terbatalnya konsesi tersebut?

    Obligasi yang sepatutnya dipenuhi oleh SYABAS jelas diperuntukkan di dalam Perjanjian Konsesi. Di samping itu, SYABAS juga terikat dengan terma-terma dan syarat-syarat yang dinyatakan di dalam Lesen Pembekalan yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.  Perjanjian Konsesi SYABAS telah berkuat kuasa semenjak 01 Januari 2005.

    Sepanjang tempoh berkuat kuasanya Perjanjian Konsesi SYABAS, terdapat beberapa tindakan dan tatalaku SYABAS yang telah dikenal pasti sebagai menjurus kepada pelanggaran Perjanjian Konsesi.  Antara tatalaku yang paling ketara adalah kegagalan SYABAS mencapai target penurunan NRW (kehilangan hasil air) seperti mana yang telah termaktub dalam Perjanjian Konsesi.

    Di dalam Perjanjian tersebut, SYABAS menjanjikan penurunan NRW kepada 19.98%  pada tahun 2011 dengan perbelanjaan sebanyak RM784.1 juta. Namun kadar NRW pada tahun 2011 yang dapat dicapai oleh pihak SYABAS adalah melebihi 32% dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1,169.64 juta,  jauh melebihi amaun yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi. Ini membuktikan bahawa walaupun SYABAS telah diberikan peruntukkan yang jauh melebihi amaun yang dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi, namun SYABAS masih gagal untuk menurunkan BRW kepada kadar yang sepatutnya.

    Kegagalan menurunkan NRW kepada 19.98% seperti dijanjikan dalam perjanjian konsesi sebenarnya bukan berpunca dari kekurangan peruntukan tetapi berpunca dari kelemahan Syabas merancang dan melaksanakan program penurunan NRW secara berkesan. Kegagalan tersebut telah menyebabkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlepas peluang untuk

    mendapatkan penjimatan kira-kira 550 juta liter air sehari yang sepatutnya dihasilkan dari penurunan NRW seperti dijanjikan Syabas.

    Selain itu, keengganan SYABAS mengemukakan maklumat dan data yang dikehendaki oleh Kerajaan Negeri Selangor juga telah menunjukkan ketidakpatuhan SYABAS kepada Perjanjian Konsesi.

    Walaupun jelas pada hemat Kerajaan Negeri Selangor bahawa SYABAS terdapat tindakan dan tatalaku yang menjurus kepada ketidakpatuhan SYABAS terhadap Perjanjian Konsesi, Kerajaan Negeri Selangor tidak boleh mengambil apa-apa tindakan menamatkan Perjanjian Konsesi ini.

    Keadaan ini adalah disebabkan terdapatnya peruntukan di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS yang jelas memperuntukkan bahawa Kerajaan Negeri

    Selangor hanya boleh mengeluarkan Notis Ketidakpatuhan (Default Notice) kepada SYABAS setelah mendapat kebenaran dan persetujuan Kerajaan Persekutuan.

    Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor telahpun beberapa kali melalui surat memaklumkan Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) akan tatalaku SYABAS tersebut dan hasrat Kerajaan Negeri  hasrat untuk mendapatkan persetujuan Kerajaan Persekutuan bagi menamatkan Perjanjian Konsesi, namun tiada sebarang maklum balas diterima oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    Kerajaan Negeri Selangor juga telah pernah menyarankan supaya Kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi mengambil alih pengurusan dan operasi SYABAS atas alasan tindakan dan tatalaku SYABAS telah melanggar terma dan syarat yang telah diperuntukkan di dalam Perjanjian Konsesi. Namun saranan ini juga tidak dijawab oleh Kerajaan Persekutuan.

    Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor berpandangan, penyelesaian ke atas SYABAS ini hanya boleh dicapai dengan memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di bawah Model Holistik yang sememangnya telah terbukti sebagai penyelesaian ke atas semua masalah pengurusan bekalan air secara komprehensif dan dapat menjamin pengurusan air yang mengutamakan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan serta memperkukuhkan integriti, daya saing dan kemapanannya di samping tidak membebankan rakyat keseluruhannya sebagaimana yang telah dicapai di kejayaan pelaksanaan Model Holistik di Penang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Lampiran

Tiada Lampiran.