Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

215) SUSULAN PENGESANAN KEGIATAN PINDAH MILIK TANAH SECARA TIDAK SAH MELIBATKAN TANAH SELUAS 9.4 HEKTAR BERNILAI RM7.1 JUTA DI BAWAH PEJABAT DAERAH DAN TANAH (PDT) KLANG

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan oleh Kerajaan Negeri ke atas PDT daerah yang lain?

    Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menitikberatkan berkenaan integriti dalam pengurusan pentadbirannya. Bagi membendung kes pindah milik tanah secara tidak sah ini berulang atau terjadi di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di daerah lain dalam negeri Selangor, semua PDT dalam negeri Selangor hendaklah meningkatkan dan memperkukuhkan fungsi pengesanan dalaman sebagai langkah pencegahan awal dari berlakunya penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran tanah di Negeri Selangor. Justeru itu, antara tindakan yang telah diambil dan akan diambil adalah seperti berikut:

    • Tindakan Disiplin terhadap Pegawai Terlibat:

    Pegawai yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah akan dikenalpasti untuk dikenakan tindakan tatatertib yang sewajarnya berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995 dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

    • Program Taklimat dengan usahasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM):

    Kerajaan Negeri Selangor akan bekerjasama dengan SPRM dalam usaha membanteras gejala rasuah melibatkan kakitangan di kesemua Pejabat Daerah dan Tanah. Antaranya adalah termasuk mengadakan taklimat dan seminar berkaitan pencegahan rasuah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan penjawat awam serta hukuman-hukuman yang bakal dikenakan sekiranya terbabit rasuah.

    • Program Peningkatan Kesedaran Integriti :

    Memperbanyakkan program seperti Seminar Integriti yang dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak untuk memupuk nilai integriti dalam kalangan kakitangan awam khususnya di Pejabat Daerah dan Tanah.

    • Pelaksanaan Pusingan Kerja (Job Rotation) :

    Selaras dengan saranan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), setiap Ketua Jabatan bertanggungjawab untuk melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai yang memegang sesuatu jawatan dalam tempoh yang lama terutama bagi jawatan sensitif. Langkah ini bertujuan mengurangkan risiko rasuah dan salah guna kuasa dengan memastikan pegawai tidak terlalu lama berada dalam satu posisi yang mungkin membuka peluang kepada amalan tidak beretika. Ketua Jabatan yang gagal melaksanakan pusingan kerja boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah peraturan yang ditetapkan.

    • Memastikan Ketelusan dan Tanggungjawab Sebagai Anggota penjawat awam :

    Memantau laporan pengisytiharan harta bagi kakitangan awam untuk memastikan tiada konflik kepentingan di setiap jabatan.

    Melalui langkah-langkah ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui Unit Integriti akan berusaha untuk memastikan integriti dan profesionalisme dalam pengurusan tanah di semua daerah, serta mencegah berulangnya insiden pindah milik tanah secara tidak sah.

Lampiran

Tiada Lampiran.