Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
99) SUKMA 2024
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Abbas Salimmi Bin Che Adzmi @ Azmi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Pembangunan Sukan Selangor diperuntukkan RM 8 Juta. Apakah jumlah ini mencukupi untuk kontinjen SUKMA Selangor terutama untuk mencapai sasaran 3 teratas di dalam SUKMA 2024 di Sarawak?
Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 bakal berlangsung di Negeri Sarawak pada 17 sehingga 24 Ogos 2024 yang melibatkan sebanyak jenis 37 sukan. Pada penyertaan kali ini Kontinjen Negeri Selangor dijangka akan menyertai kesemua jenis sukan yang dipertandingkan melibatkan seramai 1138 orang termasuklah atlet, jurulatih, pengurusan kontinjen. Pada penyertaan tahun 2024 kali ini, Kontinjen Negeri Selangor mensasarkan untuk berada di kelompok 3 negeri terbaik, memperbaiki pencapaian pada SUKMA 2022 lalu ditempat ke-4.
Pada tahun 2024 Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukan kepada Majlis Sukan Negeri Selangor sebanyak RM 8 juta bagi melaksanakan program pembangunan sukan dan persediaan Kontinjen SUKMA.
Jika dibandingkan peruntukan tahunan dengan negeri-negeri seperti Terengganu (RM20 Juta), Johor (RM15 Juta), Sarawak (RM23.1 Juta), Wilayah Persekutuan (RM 15 Juta) dan Sabah (RM 27.2 juta) yang kini merupakan negeri-negeri pencabar kedudukan tangga pertama (Juara Keseluruhan) hingga ke-4 di Temasya Sukan Malaysia (SUKMA).
Negeri-negeri tersebut telah menyediakan peruntukan yang lebih besar untuk Kontinjen negeri masing-masing dalam persediaan SUKMA dan program pembangunan sukan pada setiap tahun.
Negeri-negeri yang menerima budget peruntukan yang setara dengan Negeri Selangor adalah seperti Negeri Perak, Pulau Pinang, Pahang dan Negeri Sembilan. Negeri-negeri tersebut sentiasa berada dikedudukan tangga ke-5 hingga ke-9 keseluruhan di Temasya SUKMA setiap kali penganjuran berlangsung.
Program Pembangunan Sukan memerlukan jumlah peruntukan yang sangat besar dan ianya perlu diberikan secara konsisten pada setiap tahun. Majlis Sukan Negeri Selangor mempunyai 53 Persatuan Sukan Negeri yang bergabung. Setiap program pembangunan sukan perlu dilaksanakan dari peringkat atlet akar umbi hinggalah ke atlet berprestasi tinggi dan ianya akan memakan masa antara 10 hingga 15 tahun untuk melihat keberhasilan sesebuah kejayaan program pembangunan sukan tersebut.
Antara aspek penting yang perlu ambil perhatian dalam penyediaan atlet samada diperingkat akar umbi mahupun atlet berprestasi tinggi seperti gaji jurulatih, elaun atlet, kelengkapan peralatan latihan, tempat latihan dan pendedahan kejohanan dalam dan luar negeri bagi memastikan pelaksanaan program pembangunan sukan berjalan dengan baik dan lancar.
Jumlah peruntukan RM 8 juta tersebut hanya memadai untuk persediaan Kontinjen Negeri Selangor ke Temasya SUKMA 2024 Sahaja. Namun sekiranya bersekali dengan program pembangunan Sukan dan peringkat akar umbi, secara realistiknya jumlah tersebut adalah sama sekali tidak mencukupi. Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan untuk menambah peruntukan tersebut berdasarkan keperluan tambahan bagi logistik dan persediaan pasukan. Jumlah ini juga tidak termasuk jumlah insentif yang bakal diberikan kepada penyumbang pingat yang dijangkakan menghampiri RM 1 juta.
Untuk rekod pada tahun 2016, Temasya SUKMA yang juga berlangsung di Negeri Sarawak hanya melibatkan 3 residen iaitu Kuching, Miri dan Sibu sebagai venue pertandingan melibatkan hanya melibatkan sejumlah 24 jenis sukan. Pada tahun tersebut Kontinjen Selangor berjaya menjuarai Temasya SUKMA.
Berbanding bagi tahun SUKMA 2024 yang juga akan dilangsungkan di Negeri Sarawak tetapi melibatkan sejumlah 37 jenis sukan dan pembabitan 8 resident iaitu Kuching, Sibu, Miri, Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Mukah dan Bintulu dan ianya dilihat akan melibatkan tambahan kos terutamanya dari segi kos logistik kontinjen.