Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

113) SUKAN SUKMA

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah persediaan kerajaan negeri untuk sukan SUKMA yang akan datang?

    Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan kepada Majlis Sukan Negeri Selangor untuk tahun 2015 sebanyak RM 5 juta untuk persediaan pasukan-pasukan SUKMA akan datang. Peruntukan ini adalah untuk menjalankan program-program latihan harian, latihan hujung minggu dan termasuk latihan pusat. Selain itu juga, persediaan lain adalah untuk menyertai kejohanan-kejohanan sebagai pendedahan dan juga sebagai mengukur tahap penguasaan permainan, bayaran elaun atlit-atlit yang berlatih, program binaan termasuklah bengkel-bengkel, seminar-seminar kepada pasukan untuk menyemarakkan lagi fasa persediaan mereka.

    Pada tahun ini, pihak Majlis Sukan Negeri Selangor telah mewujudkan Pusat Latihan Daerah (PLD) dengan permulaan sebanyak 3 jenis sukan di setiap daerah. Pusat ini adalah di bawah pengawasan Majlis Sukan Daerah (MSD) dan juga pihak Majlis Sukan Negeri Selangor. Tujuan Pusat Latihan Daerah ini diwujudkan adalah untuk mengembangkan lagi program pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

    Selain itu, pada tahun 2014, satu program penumpuan sukan yang dinamakan Program Khas telah diwujudkan dan tujuan ianya ditubuhkan adalah untuk menumpukan kepada atlit-atlit yang menyerlah di acara tertentu untuk diberi penumpuan yang lebih dan intensif.

    Sebanyak 11 sukan yang dipilih dalam program ini dan sukan- sukan tersebut adalah sukan yang menawarkan banyak pingat iaitu, angkat berat, memanah, menembak, olahraga, gimnastik, akuatik, lawan pedang, kanu, mendayung dan wushu.

  2. Apakah jenis sukan yang menjadi sasaran untuk dimenangi dalam SUKMA akan datang?

    Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor mensasarkan sukan-sukan yang objektif seperti renang, menembak dan basikal berdasarkan pencapaian SUKMA lepas. Mengikut statistik pada SUKMA tahun 2014 yang lepas, sukan renang adalah sukan yang telah berjaya memenangi sebanyak 11 pingat emas dan sekaligus telah mendominasi pungutan pingat keseluruhan bagi acara renang. Pada SUKMA 2016 yang akan datang, pihak Majlis masih mensasarkan sukan renang untuk mendominasi acara ini memandangkan atlet-atlet yang terlibat masih boleh menyertai SUKMA 2016.

    Bagi sukan menembak, walaupun dominasi pungutan pingat adalah dari Negeri Pahang, pasukan Selangor mampu memberi saingan dan mendapatkan pingat emas kerana berdasarkan pencapaian SUKMA 2014, pasukan ini berjaya mendapatkan 7 pingat emas dan pada SUKMA 2016 akan datang, pihak Majlis mensasarkan pasukan ini mampu mengekalkan dan meningkatkan lagi jumlah pingat emas.

    Bagi sukan berbasikal, pada SUKMA 2016 akan datang, ianya dilihat peluang kepada pasukan ini untuk meraih pingat yang lebih berbanding pada SUKMA 2014 yang lalu pasukan ini mendapat sebanyak 4 pingat emas. Kebanyakan atlet sedia ada adalah atlet yang sedang berlatih di Majlis Sukan Negara.

    Selain itu, pihak Majlis juga mensasarkan sukan olahraga untuk memperbaiki pungutan pingat pada SUKMA akan datang kerana sukan ini menawarkan sebanyak 45 pingat emas dan peluang untuk mendapatkan beberapa pingat adalah tinggi dan pihak Majlis juga sedang dalam penilaian untuk mengenalpasti atlet-atlet yang berpotensi untuk diberi latihan intensif yang sewajarnya.

    Sasaran sukan lain adalah sukan gimnastik di mana sukan ini merupakan sukan yang tidak menghampakan untuk mendapatkan pingat emas. Walaubagaimanapun, beberapa inisiatif perlu diambil kerana negeri lain juga sedang berusaha memberi saingan yang hebat kepada pasukan Selangor. Pihak Majlis dengan kerjasama pihak persatuan sedang menjalankan program-program yang sewajarnya kepada atlet-atlet ini agar mereka sentiasa berada di landasan yang betul.

    Bagi sukan-sukan yang lain, pihak Majlis tidak berdiam diri dan ianya sedang dalam penelitian dan penilaian prestasi semasa dan pihak Majlis juga mensasarkan sekurang-kurangnya setiap pasukan perlu mendapatkan sebanyak 2 pingat emas untuk SUKMA akan datang.

Lampiran

Tiada Lampiran.