Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
134) SUKAN RAGBI
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah rancangan Kerajaan Negeri dalam menggalakkan sukan ragbi yang kini tidak diberikan tumpuan oleh Kerajaan Persekutuan?
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menyokong dan menggalakan semua jenis sukan yang berdaftar dan bergabung dengan Majis Sukan Negeri Selangor. Majlis Sukan Negeri Selangor sentiasa bekerjasama dan menyokong usaha Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) untuk membangunkan sukan ragbi di Selangor. Pihak Majlis sentiasa membantu dari aspek peruntukan terutamanya untuk membangunkan sukan ragbi di negeri Selangor dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat elit.
Antara perancangan yang dijalankan oleh Majlis Sukan Negeri Selangor dan pihak persatuan untuk menggalakan sukan ragbi ini adalah antaranya mengadakan klinik dan bengkel sukan ragbi di peringkat sekolah-sekolah, penganjuran kejohanan peringkat kebangsaan, penyertaan kejohanan dan kursus-kursus teknikal kejurulatihan serta kepegawaian.
Selain daripada itu pihak Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memberi galakan serta sokongan kepada mana-mana agensi atau anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) untuk keterlibatan meraka dalam aktiviti sukan. Ianya sebagai tanggungjawab sosial syarikat terutamanya dengan memberi tajaan atau bantuan dari segi kewangan yang dapat membolehkan program-program pengenalan dari peringkat akar umbi bagi sukan ragbi diperluaskan diseluruh negeri Selangor. Disamping itu juga dengan adanya bantuan tajaan pihak Persatuan Ragbi Selangor boleh menganjurkan pertandingan dengan lebih kerap dalam mencungkil dan menggilap bakat-bakat baru atlet yang berpotensi untuk diketengahkan pada masa akan datang.
-
Kenapa Kerajaan Negeri tidak membina satu fasiliti seperti padang ragbi yang bertaraf antarabangsa di Negeri Selangor?
Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan infrastruktur sukan yang lengkap dan bertaraf antarabangsa untuk pembangunan sukan. Tidak dinafikan juga keperluan infrastrukur sukan yang lengkap ini dapat membantu atlet untuk menjalankan latihan dengan lebih baik dan sempurna.
Walau bagaimanapun, peruntukan yang terhad, keluasan tapak dan status tanah adalah antara cabaran terbesar dalam usaha untuk membina padang ragbi yang bertaraf antarabangsa di Negeri Selangor. Justeru itu, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor akan menyemak semula status tanah Kerajaan yang sesuai bagi tujuan pembinaan tersebut namun pelaksanaannya adalah bergantung kepada peruntukan semasa. Untuk makluman, terdapat beberapa padang ragbi sedia ada di sekitar Negeri Selangor yang dibina mengikut spesifikasi dan boleh digunakan untuk latihan dan kejohanan seperti padang ragbi di Padang Utara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), UiTM Shah Alam dan UPM Serdang.
-
Kenapa Kerajaan Negeri tidak memberikan tumpuan bagi membina satu padang ragbi di dalam projek pembinaan Stadium Shah Alam baru.
Kerajaan Negeri telah meneliti dan merancang pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KKSA) yang merangkumi beberapa segmen seperti pembinaan Stadium Terbuka, Stadium Tertutup, taman permainan, Sport Wing (Sayap Sukan) dan Youth Wing (Sayap Belia). Selain itu, terdapat juga pembinaan padang serbaguna di dalam pembangunan KSSA yang mana padang serbaguna ini boleh digunakan untuk sukan acara padang seperti memanah, ragbi dan sebagainya. Namun begitu, pembinaan padang tersebut tidak dikhususkan untuk sukan ragbi sahaja akan tetapi sukan ragbi boleh menggunakan kemudahan padang berkenaan sekiranya perlu.