Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
36) SUKAN PERMOTORAN
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah telah ada cadangan lokasi/jalanraya yang sesuai dikemukakan untuk dijadikan litar lumba rakyat atau sprint/drag?
Kerajaan Negeri sentiasa menyokong segala usaha untuk memajukan sukan permotoran di Negeri Selangor. Antara usaha yang dijalankan adalah dengan membina sebuah litar lumba. Sehubungan itu, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor telah mengenalpasti beberapa lokasi tapak cadangan seperti di Mukim Batu Sungai Tua Gombak, Jalan Panglima Besar Sungai Gumut, Kampung Pasir Putih Kalumpang dan Lembah Beringin. Namun semua lokasi tapak cadangan tersebut tidak sesuai bagi tujuan pembangunan litar lumba.
Justeru itu, PTG Selangor akan mengkaji semula dan menjalankan siasatan bagi mengenalpasti tapak yang lebih bersesuaian agar usaha dalam merealisasikan pembangunan Kompleks Litar Lumba ini dapat merangkumi segala aspek kejuruteraan, ekonomi, kesan alam sekeliling serta jaminan penggunaan optima pada masa hadapan.
Walau bagaimanapun, untuk makluman buat masa ini, Kerajaan Negeri lebih menumpukan usaha untuk mengenalpasti tanah Kerajaan bagi tujuan land swap dengan syarikat MRCB untuk tujuan pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA). Perkara ini juga penting agar perancangan pembangunan KSSA tersebut dapat berjalan dengan lancar dan seterusnya Stadium Shah Alam yang menjadi kebanggaan rakyat Negeri Selangor pada suatu ketika dahulu dapat dibina semula.
-
Adakah pihak kerajaan telah melakukan kajian impak-sosial dan alam sekitar terhadap cadangan lokasi kawasan dan laluan jalanraya yang mahu dijadikan litar lumba rakyat atau sprint/drag?
Pada tahun 2020 satu lokasi tapak cadangan telah dikenalpasti bagi tujuan pembangunan Kompleks Litar Lumba yang mempunyai keluasan 40 ekar di Mukim Batu, Sungai Tua, Gombak. Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) telah melantik perunding bagi menjalankan kajian kemungkinan (feasibility study) di kawasan tersebut yang melibatkan kajian dari aspek kejuruteraan, ekonomi, kesan terhadap alam sekeliling dan impak sosial. Pihak perunding telah mengemukakan hasil kajian seperti berikut :
- Berdasarkan keluasan kawasan 40 ekar, anggaran panjang maksimum litar lumba yang dapat dihasilkan adalah 2.25 kilometer. Ianya tidak dapat digunakan bagi drag racing (400m Straight Line Race) kerana jarak litar lurus yang dapat dihasilkan hanya sejauh 340-meter jika dibandingkan dengan panjang minimum termasuk keselamatan yang diluluskan adalah 600 meter.
- Selain itu, terdapat aliran sungai pada kawasan kajian dan air sungai tersebut berakhir di Empangan Batu, Sungai Tua. Jika kerja-kerja dijalankan seperti kerja tanah (earthwork) dan berlaku hujan, ia akan memberi kesan kepada air sungai serta menjejaskan kebersihan empangan tersebut. Perkara ini akan menyebabkan bekalan air terganggu kesan daripada pencemaran.
- Kawasan tersebut juga termasuk di dalam Aspek Environmental Sensitivity Area (ESA). Berikut adalah ciri-ciri teratas ESA di kawasan tersebut:
ESA Rank 1 : Terdapat kawasan tadahan air iaitu Empangan Batu dan hutan simpan
ESA Rank 2 : Terdapat aliran Sungai Batu dan anak sungai
ESA Rank 3 : Kawasan cerun (150m-300m contour)
4. Menurut Management Criteria bagi ESA Rank 1 menjelaskan bahawa tiada pembangunan atau pembalakan yang dibenarkan kecuali kerja pembangunan yang memberi kesan sedikit pada alam semulajadi seperti eko-pelancongan, pusat kajian serta pendidikan alam.
Kesimpulan dari kajian yang dijalankan, pihak perunding mencadangkan agar pembangunan bagi projek litar lumba tersebut tidak dijalankan di kawasan Sungai Tua, Gombak kerana ia telah melibatkan Environmental Sensitivity Area Rank 1 di samping melibatkan kos yang tinggi.