Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

19) SUKAN DAN REKREASI

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah kerajaan negeri merancang untuk mempromosikan sukan dan rekreasi di kalangan rakyat?

    Kerajaan Negeri melalui stanco belia dan sukan sentiasa mempromosikan aktiviti sukan dan rekreasi dikalangan rakyat dinegeri Selangor. Aktivti sukan dan rekreasi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal, namun ianya juga memberi manfaat kepada kesihatan mental. Kerajaan negeri juga sentiasa menyediakan platform sukan dan rekreasi untuk rakyat agar dapat dimanfaat sebaiknya.

     

    Antara agensi – agensi kerajaan yang aktif menganjurkan program – program sukan dan rekreasi ini adalah seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Sukan Negeri Selangor, Jabatan Belia dan Sukan, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga agensi – agensi swasta yang menawarkan perkhidmatan sukan dan rekreasi. Agensi – agensi ini sentiasa mempromosi aktiviti sukan untuk rakyat seperti Fun Ride, Fun Run, senamrobik, program-program seperti Hari Sukan Negara dan lain – lain lagi aktiviti sukan yang sesuai untuk semua golongan masyarakat. Selain itu juga, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menyediakan taman – taman awam untuk aktiviti sukan dan rekreasi seperti trek jogging, trek berbasikal, padang – padang atau lapangan untuk aktiviti beriadah. Terdapat juga pihak PBT menjadikan kompleks sukan mahupun stadium untuk dijadikan tempat menjalani aktiviti sukan dan rekreasi.

     

    Antara cadangan kaedah Kerajaan Negeri untuk mempromosikan sukan dan rekreasi pada masa akan datang adalah dengan cara:

     

    • Tawaran / inisiatif penggunaan infra Sukan & rekreasi
    • Menyediakan geran sokongan sukan & Rekreasi kepada NGO dalam aktiviti sukan & rekreasi.
    • Inisiatif rebat pembelian barangan sukan
    • Ikon sukan & rekreasi negeri
  2. Apakah program atau fasiliti baru yang akan dibina untuk meningkatkan aktiviti sukan dan rekreasi?

    Kerajaan Negeri sentiasa peka dan prihatian terhadap keperluan fasiliti sukan untuk masyarakat bagi menggalakkan dan meningkatkan aktiviti sukan dan rekreasi di kalangan masyarakat. Justeru itu, bagi menggalakkan aktiviti sukan dan rekreasi Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menetapkan setiap pembangunan penempatan perlu mempunyai zon untuk aktiviti sukan dan rekreasi bagi menggalakkan masyarakat menjalankan aktiviti tersebut. Selain daripada itu, bagi memastikan semua keperluan fasiliti sukan dan rekreasi sedia ada sentiasa berada dalam keadaan yang baik untuk digunakan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan bantuan kewangan semenjak tahun 2021 bagi tujuan membaikpulih, menaiktaraf dan membina baru infrastruktur sukan di Negeri Selangor.

  3. Bagaimanakah kerajaan negeri menyokong atlet muda berbakat?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Sukan Negeri Selangor sangat komited dan mengambil serius dalam membangunkan atlet muda yang berbakat bagi memastikan pelapis negeri diketengahkan diperingkat sukan prestasi tinggi berterusan dan tidak terputus. Melalui Program Pelapis dan Bakat di Majlis Sukan Daerah setiap tahun ramai atlet muda dapat dihasilkan untuk diketengahkan bakat meraka. Sebagai contoh penganjuran kejohanan bakat bagi setiap daerah di dalam negeri Selangor seperti Kejohanan Sukan Selangor, Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Selangor, Kejohanan diperingkat negeri / kebangsaan anjuran Persatuan Sukan Negeri dan Persatuan Sukan Kebangsaan. Atlet yang telah dikenalpasti mempunyai bakat atau mencapai prestasi yang baik diperingkat bawah umur akan diserapkan ke dalam program sukan berstruktur dengan melibatkan latihan harian yang komprehensif, pendedahan kejohanan dalam dan luar negara, penerapan program Sains Sukan, dan Infrastruktur sukan yang baik . Program latihan tersebut akan disusun oleh Jurulatih yang dilantik dengan pemantauan secara dekat oleh Pihak Majlis Sukan Negeri Selangor.

     

    Disamping itu juga, pelbagai Insentif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada atlet sekiranya mereka mencapai tahap yang cemerlang diperingkat tertinggi di Kejohanan sukan sebagai dorongan atlet-atlet muda terus dalam aktiviti sukan berprestasi tinggi. Sebagai contoh Insentif Kemenangan Atlet, Pengiktirafan kurniaan Pingat Kebesaran Sukan Negeri Selangor, Penganugerahan Sukan Negeri, Tawaran pakej Pendidikan ( Biasiswa Sukan ), Pendedahan terhadap kursus-kursus keusahawanan, bengkel kemahiran dan sebagainya.

Lampiran

Tiada Lampiran.