Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

161) SUKAN BOLA SEPAK

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Minta pihak kerajaan negeri menyatakan apakah perancangan terkini pihak Kerajaan dalam membangunkan sukan bola sepak Selangor.

    Kelab Bolasepak Selangor atau lebih dikenali sebagai Selangor FC (SFC) telah mempamerkan aksi cemerlang pada musim 2023 dengan mendapat Naib Johan Liga Super Malaysia dan melayakkan diri ke kejohanan AFC Champions League 2 (ACL2) yang penuh prestij pada musim ini. Ianya merupakan pencapaian terbaik pasukan Selangor di dalam kejohanan Liga Super Malaysia sejak tahun 2014 dan penampilan pertama pasukan Selangor di peringkat Asia sejak tahun 2016. Perancangan bagi menghadapi musim Liga Malaysia dan kejohanan ACL2 pada tahun 2024 telah dimulakan melalui pengambilan pemain-pemain tempatan dan asing yang mewakili pasukan kebangsaan dan mempunyai pengalaman yang luas di peringkat antarabangsa. Pemilihan para pemain bertaraf antarabangsa ini diharapkan dapat membantu pasukan Selangor untuk memperbaiki pungutan mata Liga Super Malaysia, melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia serta melayakkan diri ke pusingan kalah mati bagi kejohanan ACL pada musim 2024 ini. Kejayaan pasukan Selangor yang membanggakan pada tahun ini akan meningkatkan martabat bola sepak Selangor diperingkat antarabangsa, menarik lebih banyak sokongan rakyat Selangor serta menjadi pemangkin kepada penglibatan anak-anak muda di dalam sukan bolasepak disetiap peringkat umur dan lapisan masyarakat negeri Selangor.

     

    Selain itu, SFC juga akan menitikberatkan pembangunan bolasepak elit bawah umur bagi memastikan kecemerlangan yang berterusan bagi tahun-tahun yang akan datang. Antara inisiatif-inisiatif yang dijalankan bagi memastikan pasukan utama Selangor sentiasa dibarisi pemain-pemain muda yang berbakat besar dan bertaraf antarabangsa adalah pengambilan barisan kejurulatihan yang berpengalaman tinggi buat pasukan bawah-23, bawah-20 dan bawah-18 tahun Selangor, menjalin kerjasama dengan Sekolah Sukan Negeri Selangor (SSN) bagi pemain 13-17 tahun, menjalin kerjasama dengan Akademi Tunas negeri Selangor bagi pemain 7-12 tahun serta mencari bakat dari liga-liga negeri anjuran Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

     

    SFC juga akan memberi lebih banyak perhatian kepada pembangunan elit bolasepak wanita Selangor bagi melahirkan para pemain wanita yang akan membawa kejayaan kepada pasukan kebangsaan wanita serta mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa. Antara strategi-strategi yang dibuat adalah pemberian kontrak profesional kepada pemain wanita yang berbakat tinggi, penempatan bermain di kelab bolasepak luar negara, penubuhan pasukan elit perempuan 10-17 tahun melalui kerjasama dengan Sekolah Sukan Negeri Selangor dan Akademi Tunas di Selangor serta pencarian bakat dari liga-liga peringkat negeri anjuran FAS. Selain usaha-usaha di atas padang, SFC juga giat menjalankan inisiatif-inisiatif pengkomersialan dan perniagaan bagi menjana pendapatan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan pembangunan sukan bolasepak negeri Selangor.

  2. Adakah kerajaan berhasrat untuk bekerjasama dengan Kelab Eropah bagi membangunkan bakat pemain bola sepak di Negeri Selangor?

    Seiring dengan kelayakan SFC ke peringkat Asia pada musim ini, pihak Kelab telah mula berhubung dengan kelab-kelab antarabangsa termasuk kelab dari Eropah, Asia dan Afrika untuk menjalinkan kerjasama bagi mengembangkan bolasepak negeri Selangor. Pada bulan Januari dan Februari 2024, jurulatih pasukan utama SFC, Encik Tan Cheng Hoe akan melawat beberapa kelab di Portugal seperti Benfica dan Sporting Lisbon, tiga jurulatih pasukan utama SFC telah ditempatkan di Wolfsburg FC selama dua (2) minggu, dan dua jurulatih pasukan bawah umur akan melawat kelab-kelab terkemuka Belanda seperti Ajax, Feyenoord dan FC Twente selama dua (2) minggu.

     

    Lawatan dan penempatan kerja ini diharapkan dapat memberi pendedahan dan pengetahuan yang baharu kepada jurulatih-jurulatih SFC di samping membuka ruang dialog dalam menjalinkan kerjasama yang lebih bermakna di antara Selangor dan kelab-kelab luar negara. Pihak SFC juga sedang merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan pasukan Urawa Reds, sebuah kelab tersohor di Jepun dan beberapa lagi pasukan Eropah lain yang masih dalam fasa perbincangan awal. Antara perkara-perkara yang dibincangkan dalam kerjasama-kerjasama ini adalah perkongsian ilmu dan amalan terbaik bolasepak, pembangunan sains sukan, pinjaman dan penempatan pemain dan jurulatih, penyertaan pertandingan-pertandingan pasukan bawah umur, aktiviti-aktiviti pengkomersialan serta pengurusan dan pencarian bakat berpotensi tinggi. Semoga kerjasama-kerjasama ini dapat direalisasikan bagi meningkatkan tahap dan martabat SFC sebagai sebuah kelab bolasepak yang berjaya di peringkat antarabangsa.

Lampiran

Tiada Lampiran.