Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

243) SUKAN

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Bakhtiar Bin Mohd Nor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah program sukan terkini untuk anak muda dan belia yang telah dijalankan oleh kerajaan di Selangor?

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan sentiasa menitikberatkan aspek pembangunan generasi muda dan sukan dalam usaha untuk melahirkan generasi muda yang aktif, sihat dan berdaya saing sebagai agen penggerak kepada pembangunan Negeri pada masa akan datang. Sehubungan itu, sukan merupakan salah satu teras yang terkandung dalam Dasar Belia Selangor dan sering mendapat sambutan daripada golongan generasi muda dalam usaha untuk melahirkan generasi muda yang sihat, aktif, proaktif dan mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.

    Justeru itu, Program Pesta Sukan Gen–S 2018 di Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor 2018 merupakan salah satu program kerjasama dengan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mana Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000.00 kepada setiap PBT dengan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM240,000.00 untuk menganjurkan program ini. Melalui penganjuran tersebut, sebanyak 12 PBT telah menyahut seruan dan berjaya melaksanakannya di peringkat PBT masing-masing dan akan menyertai Program Grand Finale Selangor Plus 2018 akan datang. Sebanyak 4 jenis sukan yang akan dipertandingkan iaitu futsal, bola jaring, bola keranjang dan sepak takraw. Dengan adanya penyertaan yang menyeluruh daripada pelbagai lapisan masyarakat, ianya akan memberi satu kekuatan dan sokongan kepada Kerajaan Negeri untuk meneruskan program ini pada tahun 2018 di samping dapat mengembangkan dan mengetengahkan bakat-bakat baru ke peringkat lebih tinggi.

    Seterusnya, Program Grand Finale Liga Sukan Selangor Plus 2018 telah dirancang dan akan diadakan pada 24 hingga 25 November 2018 bertempat di Kompleks Sukan Matshushita Seksyen 20, Shah Alam yang mampu untuk menarik lebih ramai penglibatan daripada generasi muda dari pelbagai lapisan masyarakat.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri juga menganjurkan Program sukan untuk  generasi muda di Selangor adalah sebagaimana berikut :-

    1. Program Larian Menjunjung Kasih
      • Program ini memberi peluang kepada generasi muda di Negeri Selangor untuk menonjolkan bakat dengan aktiviti kesukanan mengikut trend terkini di samping menghidupkan rasa kasih dan peduli generasi muda kepada Institusi Kesultanan di Negeri Selangor.
    1. Program Le Tour De Selangor
      • Program ini telah diadakan secara 5 peringkat di seluruh daerah di Negeri Selangor dengan jarak perlumbaan keseluruhan sebanyak 648.6 km.
    • Penyertaan adalah terbuka kepada semua Ahli Gabungan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia termasuk pasukan- pasukan dari Majlis Sukan Negeri Selangor dan pasukan jemputan Luar Negara.

     

    • Program Malaysia Women Marathon 2018
      • Program Malaysia Womens Marathon (MWM) 2018 ini adalah merupakan sebuah program yang berprestij tinggi bagi mengangkat Negeri Selangor menjadi negeri yang maju berteraskan komponen pembangunan wanita dan juga komponen aktiviti kesihatan yang memberi impak positif kepada masyarakat. Program ini dijangka akan menghimpunkan sekurang-kurangnya enam (6) ribu peserta daripada antarabangsa dan domestik.
    1. Program Sambutan Hari Sukan Negara 2018 Peringkat Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor
      • Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan Program Sambutan Hari Sukan Negara 2018 Peringkat Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor pada 13 Oktober 2018 (Sabtu) bertempat di Taman Botani Negara, Shah Alam, Selangor.
    1. Program Selangor   International   Youth   and   Extreme    Festival   2018 (SIY2018)
      • Penganjuran Program SIY2018 ini merupakan satu tanggungjawab sosial Kerajaan Negeri untuk mempromosikan aktiviti-aktiviti menarik khususnya berkaitan dengan riadah dan kesukanan kepada seluruh generasi muda di Negeri Selangor.
  2. Apakah ada rancangan pembinaan kompleks sukan lengkap seperti kelab rakan muda di Kawasan Semenyih bagi menjadikan semenyih sebagai tumpuan rekreasi anak muda?

    Kerajaan Negeri mengambil maklum dan sentiasa peka dengan keperluan kemudahan sukan termasuk kompleks sukan dalam usaha untuk menaikkan martabat dan memajukan sukan di negeri ini. Namun begitu, buat masa ini, Kerajaan Negeri dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tiada perancangan untuk membina Kompleks Sukan baru di Semenyih. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM40,000.00 kepada setiap DUN bagi projek menaiktaraf dan membaikpulih kemudahan sukan di peringkat DUN yang mana permohonan bagi projek ini boleh dikemukakan melalui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT). Kemudahan-kemudahan ini boleh dibaikpulih untuk digunakan oleh masyarakat setempat bagi menjalankan aktiviti riadah dan bersukan dalam usaha untuk mewujudkan masyarakat yang aktif dan sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat dan juga dijadikan sebagai tumpuan rekreasi anak muda. Berikutan, bagi DUN Semenyih, pada tahun 2018 Kerajaan Negeri telah meluluskan Projek Membaikpulih Gelanggang Takraw dan Badminton di Kampung Sungai Machang, Mukim Semenyih sebanyak RM39,962.00.

    Di samping itu, pihak Kementerian pula bersedia untuk melihat semula keperluan Kompleks Sukan untuk kawasan Semenyih dan Kementerian juga amat mengalu- alukan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pihak Swasta serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam menyediakan kemudahan-kemudahan sukan di Negara ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.