Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Kelima Belas Tahun 2025
7 Julai 2025 Hingga 11 Julai 2025 Dan 14 Julai 2025 Hingga 18 Julai 2025
76) SUKAN
Tahun: 2025
Sesi: 2
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam memberi kemudahan sukan di kawasan luar bandar di Negeri Selangor?
Kerajaan Negeri sentiasa melihat keperluan dan kehendak penduduk sama ada yang tinggal di bandar atau pun luar bandar dapat dipenuhi dengan sebaiknya. Kemudahan sukan merupakan satu elemen penting dalam keperluan masyarakat bagi memberi ruang kepada masyarakat untuk melakukan aktiviti sukan dan beriadah serta mengamalkan gaya hidup yang seimbang.
Justeru itu, salah satu inisiatif Kerajaan Negeri untuk memberi kemudahan sukan di kawasan luar bandar adalah dengan memperuntukan dana melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) untuk membaikpulih, menaiktaraf dan membina baru kemudahan sukan sedia ada seperti gelanggang futsal, sepak takraw, bola keranjang, badminton, bola jaring dan kemudahan sukan yang lain.
Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga akan mengkaji dan menyemak semula kemudahan sukan sedia ada yang berpotensi untuk dibangunkan bagi penggunaan dan kemudahan masyarakat.
-
Adakah Kerajaan Negeri ada cadangan menambah pembinaan kemudahan sukan kepada golongan wanita, warga emas dan orang kurang upaya (OKU)?
Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil berat mengenai kemudahan sukan untuk semua golongan masyarakat termasuklah golongan wanita, warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Kerajaan Negeri juga sedia maklum mengenai keperluan kemudahan sukan untuk golongan tersebut bagi menjamin keselamatan dan keselesaan mereka untuk melalukan aktiviti sukan dan riadah.
Namun begitu, di bawah Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan setakat ini tiada menyediakan peruntukan khas untuk menambah kemudahan sukan yang khusus untuk golongan wanita, warga emas dan OKU. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui PBT telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan bagi menyediakan taman permainan/ taman rekreasi yang mesra golongan OKU sebagaimana yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di USJ11 yang memberi ruang kepada golongan OKU termasuk yang berkerusi roda untuk bermain alatan permainan di taman tersebut.