Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
51) SUKA
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimana pihak kerajaan memastikan bahawa program tersebut di manafaat oleh rakyat ?
Komuniti memainkan peranan yang penting membantu Kerajaan Negeri dalam pelbagai aspek terutama demi memastikan agenda, inisiatif dan bantuan daripada Kerajaan Negeri dapat disampaikan secara efektif kepada semua rakyat Selangor yang memerlukan. Justeru, dalam aspek kesihatan, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) sebagai penggerak khusus dalam komuniti di Selangor. SUKA telah ditubuhkan di semua 56 DUN di negeri Selangor dengan objektif untuk mewujudkan sebuah komuniti yang sihat sejahtera dalam aspek fizikal dan mental melalui aktiviti dan program setempat yang dapat meningkatkan kesihatan dan kesedaran orang awam. Sejak awal penubuhan SUKA lagi, peranan SUKA tidak hanya terhad dalam aspek pencegahan dan rawatan untuk COVID-19, sebaliknya merangkumi aspek-aspek kesihatan yang lain membantu mengurangkan insidens dan prevalens penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, mempromosikan dan menggalakkan budaya gaya hidup sihat melalui pelbagai platform kepada masyarakat setempat dan juga menjadi penghubung dan pemudahcara bagi menyampaikan informasi berkenaan program dan insentif Kerajaan Negeri berkaitan aspek kesihatan kepada masyarakat setempat.
-
Bagaimana pihak kerajaan menilai penyelia-penyelia program tersebut ?
Untuk makluman Yang Berhormat, setiap SUKA adalah diwajibkan mengemukakan laporan program dan kewangan bagi tahun semasa setiap tiga (3) bulan sekali bagi tujuan semakan dan pemantauan. Koordinator SUKA perlu menghantar laporan kepada Seksyen Sektoral, UPEN selewat-lewatnya pada 10 hari bulan pada bulan berikutnya berserta dokumen sokongan berkaitan seperti resit, gambar program, perincian setiap kos dan sebagainya sepertimana yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan Kewangan Peruntukan SUKA. Selain itu juga, Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam juga dalam perancangan membangunkan modul penilaian dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) berpengalaman bagi menilai pengetahuan dan kemahiran setiap Koordinator dan ahli SUKA. Langkah ini sekaligus dapat memastikan kemahiran dan pengetahuan ahli SUKA dapat dipertingkat dan dinilai semula memandangkan kebanyakan ahli SUKA tidak mempunyai latar belakang atau pengalaman berkait kesihatan awam.
-
Apakah tindakan kerajaan yang wajar di lakukan untuk memastikan bahawa penyelia yang sesuai sahaja memegang jawatan tersebut ?
Setiap SUKA mempunyai seorang Koordinator bagi merancang aktiviti dan program bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan di samping berusaha meningkatkan status kesihatan kominiti. Pemilihan Koordinator bagi setiap DUN adalah dicalonkan oleh ADUN atau Penyelaras DUN dan mendapat sokongan serta kelulusan daripada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam. Keutamaan kriteria Koordinator adalah graduan bidang perubatan atau individu yang mempunyai pengalaman dalam bidang kesihatan awam atau kesihatan komuniti. Selain itu, Koordinator juga perlu menjalani latihan dan penilaian yang akan dikendalikan oleh agensi atau pertubuhan berdaftar yang berkelayakan dalam bidang kesihatan awam dan berkaitan seperti Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia (PKAM).