Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016
308) SUBSIDI YURAN TASKA
Tahun: 2016
Sesi: 1
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Pekeliling bil. 04/2007 dan 13/2008 berkenaan pemberian subsidi yuran Taska telah diganti dengan Pekeliling bil. 38/2013. Adakah Kerajaan Selangor bersedia melakukan sesuatu yang melebihi apa yang diperuntukkan dalam surat pekeliling ini sebagai penghargaan kepada sumbangan kakitangan awam wanita?
Melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 38 Tahun 2013, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju agar kelayakan pendapatan bulanan isi rumah penjawat awam bagi pemberian subsidi yuran pengasuhan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) dinaikkan daripada RM3,000.00 kepada RM5,000.00 bagi menambah bilangan penerima subsidi tersebut di mana jumlah subsidi yang diberikan adalah sebanyak maksimum RM180.00 sebulan bagi seorang anak.
Manakala di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor pula, yuran bulanan yang dikenakan kepada penjawat awam yang menghantar anak mereka di TASKA SUK Selangor adalah sebanyak RM100.00 bagi anak sehingga umur setahun dan RM150.00 bagi anak melebihi setahun. Jumlah tersebut telah mengambil kira subsidi yang diberikan dan tiada kelayakan had pendapatan bulanan isi rumah ditetapkan.
Di samping itu, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKEMBAR) kepada rakyat Selangor di mana skim ini dikhaskan untuk kanak-kanak yang berusia 4 tahun ke bawah yang dihantar ke TASKA atau Nurseri yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor. Melalui skim ini, ibu bapa yang layak dan memenuhi syarat akan menerima bantuan yuran TASKA atau Nurseri anak-anak mereka yang berusia 4 tahun ke bawah sebanyak RM100.00 setiap bulan.
Bagi memperkasa dan menghargai wanita dalam menyumbang kepada pembangunan sesebuah organisasi, Kerajaan Negeri sedang merancang untuk melaksanakan flexible working hours di mana seseorang wanita yang berkerjaya boleh menjalankan tugas mengikut kesesuaian masa yang telah diputuskan.
Sekiranya terlaksana, program ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pekerja wanita yang turut berperanan sebagai ibu kepada sesebuah keluarga.
(Jawapan ini telah disediakan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat SUK Selangor)