Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

20) SUBSIDI UNTUK RAKYAT

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Haji Hasiman Bin Sidom

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kerajaan Persekutuan dijangka berbelanja lebih RM20 bilion bagi tahun 2011 bagi menampung pelbagai subsidi untuk rakyat berbanding kerajaan Selangor berbelanja hanya kira-kira RM132 juta setahun untuk program air percuma. Apakah kerajaan negeri akan memperluaskan pemberian subsidi dalam perkara lain pula?

    Kerajaan Negeri telah banyak melaksanakan program-program yang membantu golongan berpendapatan rendah dalam meningkatkan taraf hidup mereka. Melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin , Kerajaan Negeri telah banyak mengeluarkan peruntukan bagi membiayai programprogram berbentuk subsidi untuk rakyat di Selangor.

    Melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2,000,000.00 pada setiap tahun untuk program-program pembasmian kemiskinan seperti Program Blueprint iaitu pemberian peralatan peralatan perniagaan yang dapat membantu para peserta untuk meningkatkan hasil dan produktiviti seterusnya membantu meningkatkan pendapatan peserta.

    Contoh peralatan yang diluluskan adalah seperti mesin jahit lurus, mesin jahit tepi, motor roda tiga, mesin penguli tepung (mixer), mesin pembakar (oven), mesin ABC, stall bergerak dan pelbagai peralatan lain dan peralatan ini diberikan secara percuma kepada mereka yang layak dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

    Melalui Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin, Program Kerajaan Prihatin memberi bantuan bina baru dan baik pulih rumah kepada mereka yang layak. Pada setiap tahun, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Anak-Anak Syarikat memperuntukkan RM 4,100,000.00 untuk tujuan tersebut. Seramai 384 orang telah menerima bantuan bina baru rumah dan 440 orang telah menerima bantuan baik pulih rumah sejak tahun 2008 sehingga Jun 2011 dengan kos perbelanjaan sebanyak RM 13,164,452.00.

    Selain itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2,000,000 pada setiap tahun untuk membiayai kos pendidikan anak-anak dari golongan yang tidak berkemampuan melanjutkan pelajaran di Kolej Teknikal Inpens. Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk menaja pelajar-pelajar ini untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang-bidang teknikal yang ditawarkan di Kolej Inpens.

    Kerajaan Negeri juga meluaskan pemberian subsidi melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan di mana Program Bantuan Kesihatan telah dilaksanakan pada tahun 2009. Bantuan ini memberi keutamaan kepada pemohon yang mempunyai tanggungan yang ramai, ahli keluarga yang sakit dan golongan yang berpendapatan rendah. Program ini memberi bantuan kesihatan seperti dialisis buah pinggang, pembedahan kecil dan katarak mata. Sebanyak RM500,000 diperuntukkan pada setiap tahun untuk membiayai program ini. Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Wanita telah memperkenalkan Skim Mammogram iaitu pemeriksaan percuma untuk mengesan barah payudara untuk wanita berumur 40 tahun ke atas. Sebanyak RM 1,000,000.00 setahun diperuntukkan untuk skim ini.

    Kerajaan Negeri juga memberi bantuan subsidi untuk Anak-Anak Pekerja Ladang melalui Program Subsidi Tambang Bas. Selain itu banyak program-program yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam meluaskan skop pemberian subsidi kepada semua rakyat Selangor. Melalui program Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan Skim Mikrokredit (MIMBAR) adalah usaha-usaha Kerajaan Negeri dalam menyalurkan subsidi kepada rakyat dan diharapkan dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk terus meningkatkan taraf hidup.

  2. Bagaimanakah status kewangan negeri ketika ini?

    Secara keseluruhannya, status semasa kewangan Kerajaan Negeri Selangor pada 30 Jun 2011 menunjukkan prestasi yang baik dengan lebihan semasa sebanyak RM198.95 juta dan lebihan terkumpul sebanyak RM931.20 juta. Prestasi kewangan Kerajaan Negeri Selangor bagi tahun 2007, 2008, 2009, 2010 dan 30 Jun 2011 berakhir masingmasing dengan lebihan/(kurangan) semasa sebanyak RM131.87 juta, RM49.11 juta, (RM65.96 juta), RM124.24 juta dan RM198.95 juta.

Lampiran

Tiada Lampiran.