Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

8) SUBSIDI KOS IVF

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan untuk bagi subsidi kepada program IVF?

    Jawapan ini akan dijawab bersekali dengan jawapan soalan no 178 (b) daripada Yang Berhormat Bukit Gasing dan no 234 (a) daripada Yang Berhormat Subang Jaya.

    Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menawarkan rawatan Persenyawaan in Vitro (IVF) dengan kos paling rendah iaitu dianggarkan bermula sekitar RM8,000.00, dengan kadar penjimatan antara 100 hingga 500 peratus berbanding rawatan di fasiliti swasta. Terdapat 3 klinik subfertiliti LPPKN yang menyediakan rawatan tersebut bertempat di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

    Selain itu, pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 yang diberikan ke atas perbelanjaan merangkumi kos rawatan kesuburan, di bawah pelepasan cukai pendapatan untuk rawatan perubatan penyakit serius. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut membenarkan ahli yang menghadapi masalah kesuburan untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 2 bagi membiayai kos rawatan Persenyawaan in Vitro (IVF).

    Kerajaan Negeri akan mengambil langkah untuk mengkaji pemberian subsidi bagi rawatan IVF mengikut keperluan semasa rakyat di negeri Selangor.

  2. Bagaimanakah Kerajaan Negeri dapat menggalakkan rakyat supaya dapat lahir anak Selangor?

    Kerajaan Negeri memberi perhatian serius terhadap kemerosotan kadar kelahiran di negeri Selangor iaitu dari 2.0 kepada 1.5 dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. Situasi ini menjadikan negeri Selangor sebagai super-aged society dengan jumlah warga emas berumur 60 tahun ke atas semakin meningkat dan jumlah pekerja dalam tenaga buruh semakin berkurangan yang memberikan dampak besar kepada ekonomi negeri.

    Oleh itu, Kerajaan Negeri akan mengambil kira isu ini sebagai isu teras dalam Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor, melaksanakan kajian dan merangka strategi khusus untuk meningkat kadar kelahiran di negeri ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.