Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

99) STRATEGI PUBLISITI UNTUK POLISI KERAJAAN

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Memandangkan kerajaan mempunyai polisi-polisi bagus, apakan strategi kerajaan untuk mempromosikan polisi-polisi ini?

    Polisi-polisi Kerajaan Negeri Selangor dipromosi dalam pelbagai cara, termasuk menerusi saluran media rasmi kerajaan negeri (Media Selangor Sdn Bhd) dalam bentuk berikut;

     

    1. akhbar bercetak dalam empat bahasa: Selangorkini edisi bahasa Melayu (empat kali sebulan), edisi Mandarin (dua kali sebulan), Tamil (sekali sebulan) dan Inggeris (sekali sebulan)
    2. saluran digital: portal berita empat bahasa dan juga klip video berita SelangorTV
    • media sosial Media Selangor / SelangorTV di Facebook, Twitter, Instagram dan Tiktok

    Semua media ini menyampaikan pelbagai polisi kerajaan negeri dalam pelbagai format seperti berita, temu bual, infografik, video pendek dan siaran langsung. Contohnya, program Jelajah Selangor Penyayang disiar secara langsung di SelangorTV. Ia juga mendapat lebih 150,000 tontonan di TikTok, YouTube dan Facebook.

    Selain itu, Media Selangor turut mencetak Buku Ucapan Belanjawan Selangor sejak tahun 2018 sehingga kini. Media Selangor turut mencetak Majalah Kita Selangor 1.0, 2.0 yang mengisahkan usaha Kerajaan Negeri Selangor menangani pandemik COVID-19 dan Edisi Khas Banjir berkenaan bencana banjir Disember 2021.

    Media Selangor turut menerbitkan dua dokumentari khas; Selangor Gempur Covid-19 dan Selangor Bangkit.

  2. Apakah strategi publisiti kerajaan untuk memupuk kesedaran rakyat terhadap isu-isu penting seperti perubahan iklim dan kesihatan mental?

    Kesedaran rakyat terhadap isu-isu penting perlu dipupuk melalui pendedahan dan pendidikan berterusan menerusi pelbagai saluran. Usaha yang dijalankan Kerajaan Negeri disampaikan Media Selangor melalui semua platform dan format yang disebutkan dalam jawapan di atas. Media Selangor turut giat melaksanakan sesi libat urus dan perbincangan bersama NGO, agensi kerajaan dan juga pihak media yang lain bagi merangka strategi serta cara yang berkesan menyampaikan maklumat. Selain itu, strategi dan halatuju Media Selangor turut dibantu oleh Lembaga Penasihat Editorial yang diketuai Tan Sri Johan Jaaffar yang merupakan Tokoh Wartawan Negara.

  3. Adakah kerajaan berniat bekerjasama dengan NGO atau 'influencer' berkenaan isu publisiti?

    Media Selangor sering mengadakan kerjasama dengan syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri, badan-badan bukan kerajaan dan personaliti mengikut keperluan dan agenda kerajaan Negeri.

     

    Selain wawancara dengan EXCO dan Ahli Dewan Negeri (ADN), personaliti (resource persons) yang ditemu bual termasuklah pakar ekonomi, doktor perubatan, selebriti, pegawai kanan polis, ketua jabatan dan “influencer” mengikut kesesuaian topik perbincangan/liputan.

     

    Program Bual Bicara dan Borak Santai telah menampilkan beberapa tokoh dari pelbagai bidang dan juga ‘Key Opinion Leader’ (KOL).

Lampiran

Tiada Lampiran.