Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
235) STRATEGI DAN PEMODELAN TEBATAN BANJIR
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah strategi dan pemodelan bagi setiap projek tebatan banjir bagi Sungai Klang, Sungai Langat dan Sungai Damansara demi mengawal banjir di lembangan tersebut?
Perancangan strategi dan pemodelan yang digunakan adalah pendekatan yang melibatkan semua daerah di Negeri Selangor di mana kawasan yang sering berlaku banjir kilat atau hotspot banjir diberi keutamaan. Antara skop tebatan banjir yang dilaksanakan adalah seperti berikut:-
- Menaiktaraf sungai
- Melebar dan mendalamkan sungai
- Membina kolam takungan banjir
- Membina kunci air
- Meninggi/ membina ban sungai
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) telah membuat perancangan pengurusan banjir melalui dua (2) kaedah iaitu langkah struktur dan langkah bukan struktur dalam menangani isu banjir pada masa akan datang.
Langkah struktur melibatkan projek tebatan banjir yang merangkumi komponen seperti berikut:-
- Pembinaan ban banjir, tembok penahan banjir (flood wall), terowong banjir (flood tunnel), bypass channel dan barrage bagi tujuan kawalan banjir.
- Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bagi menyediakan bekalan air terawat yang mencukupi di samping untuk tujuan pengurusan banjir.
- Pembinaan kolam takungan banjir seperti underground storage, elevated pond, vertical & horizontal storage dan kolam takungan bertingkat.
- Pembinaan pintu kawalan air dan rumah pam yang diintegrasikan dengan Sistem Kawalan Penyeliaan dan Perolehan Data Berkomputer – Supervisory Control And Data Acquisition (SCADA) bagi pintu air di kawasan yang berisiko tinggi mengalami banjir. Pintu Air ini akan dikawal secara automatik berdasarkan kenaikan paras air di sungai dan juga boleh dikawal serta dipantau menerusi komputer dan telefon pintar.
- Melebar dan mendalamkan sungai seperti Projek Mendalamkan dan Melebarkan Sungai Klang Termasuk Meninggikan Ban Sungai Klang.
- Menaiktaraf sistem saliran.
Langkah bukan struktur pula terdiri daripada komponen-komponen seperti berikut:-
- Program Ramalan Amaran Banjir Negara (PRAB) yang berupaya meramal kejadian banjir monsun 7 hari lebih awal, memberi amaran banjir monsun 2 hari lebih awal, ketepatan ramalan aras air (+/- 0.5m) dan ramalan banjir kilat 1-3 jam lebih awal berdasarkan data ramalan cuaca dari Jabatan Meteorologi Malaysia. Selain itu, PRAB juga berupaya memberi amaran dan hebahan banjir monsun dari 6 jam kepada 2 hari lebih awal kepada agensi berkepentingan dan penduduk yang terlibat dengan banjir. Perolehan program ini telah bermula pada September 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mac 2024. Program ini merangkumi pengesanan, ramalan, amaran dan hebahan.
- Pembangunan Rangkaian Stesen Hidrologi termasuk Sistem Siren Amaran Banjir untuk mengumpul dan memproses data hidrologi bagi tujuan ramalan dan amaran banjir.
- Pembangunan Sistem Pemantauan Banjir melalui laman web Infobanjir Negeri Selangor untuk memberi amaran awalan banjir kepada orang awam mengenai status paras air sungai, taburan hujan dan kamera pemantauan status banjir.
- Penggunaan Garis Panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang menetapkan keperluan mandatori yang perlu dipatuhi bagi pembangunan baru di kawasan bandar.
- Pendekatan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu dan Pengurusan Banjir Bersepadu bagi rancangan pengurusan banjir. Ini akan memberikan pendekatan yang lebih seimbang antara langkah-langkah struktur dan bukan struktur serta tahap penyertaan masyarakat yang lebih tinggi.
- Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM – Integrated River Basin Management) dan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir (IFMP – Integrated Flood Management Plan) serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA).
- Pengurusan kawasan tadahan yang merangkumi kawalan pembangunan, pemeliharaan tanah dan pengurusan penggunaan tanah tinggi.
- Peta Hazard Banjir yang digunakan untuk tujuan penilaian risiko bagi mengurangkan kerugian akibat banjir.
- Kajian semula keupayaan dan operasi empangan di bawah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Syarikat Air Selangor untuk mengkaji kesesuaian Empangan Sg. Langat dan Empangan Sg. Semenyih digunakan untuk tujuan operasi kawalan banjir.
Selain itu, Kerajaan Negeri sedang mengkaji cadangan kaedah kawalan air di sumber atau control-at-source. Cadangan ini menggalakkan kawalan banjir dari segi perbandaran di mana syarat akan dikenakan pada pembinaan bangunan yang baru untuk menyediakan takungan air hujan dalam bangunan sebelum mengalir ke sistem saliran.
Di samping itu, Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji kaedah baru untuk menghubungkan kolam atau tasik sedia ada dengan sungai secara berperingkat bagi tujuan pengurusan banjir dan bekalan air.
-
Apa ukuran keberkesanan projek-projek tersebut seperti di Petaling Jaya, Klang dan Kajang?
Ukuran keberkesanan projek-projek yang dilaksanakan oleh JPS adalah berdasarkan penilaian outcome program/ projek pembangunan. Penilaian outcome digunakan sebagai alat untuk mengukur kesan program/ projek pembangunan yang telah siap dan digunakan kepada golongan sasar daripada aspek sosial, ekonomi, politik dan alam sekitar.
Pelbagai usaha telah diambil oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui JPS iaitu dengan melaksanakan program tebatan banjir bagi menangani dan mengurangkan impak kejadian banjir terhadap keselamatan nyawa dan harta. Kejadian banjir terburuk yang pernah melanda Kuala Lumpur pada tahun 1971 (berkala 1 dalam 80 tahun) di pusat bandar dan juga di Lembangan Sungai Klang telah mendorong Kerajaan melaksanakan program-program tebatan banjir seperti Program Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembah Sungai Klang. Apabila terlaksananya program ini sepenuhnya, Kuala Lumpur dijangka dapat bertahan kejadian banjir yang lebih buruk (berkala 1 dalam 100 tahun).
Antara projek mega yang telah berjaya mengurangkan kejadian banjir di ibu negara adalah Kuala Lumpur Flood Mitigation (KLFM) dan Stormwater Management And Road Tunnel (SMART). KLFM merupakan program tebatan banjir yang dicadangkan di dalam Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Kuala Lumpur pada tahun 2003 untuk dilaksanakan bagi mengurangkan impak banjir di sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Program ini merangkumi tiga (3) pakej utama iaitu:-
- KLFM-A : Stormwater Management and Road Tunnel (SMART) melibatkan kawasan tadahan di Sungai Klang dan Sungai Ampang.
- KLFM-B : Gombak River Diversion and Keroh River Diversion merangkumi kawasan Sungai Gombak, Sungai Keroh, Sungai Jinjang dan Sungai Batu.
- KLFM-C : Bunus River Diversion yang merangkumi kawasan tadahan di Sungai Bunus yang merupakan anak Sungai Klang.
Di Negeri Selangor juga terdapat pelbagai program tebatan banjir yang telah berjaya mengurangkan kekerapan kejadian banjir. Antara projek mitigasi banjir yang telah memberi impak positif di Daerah Hulu Langat, Klang dan Petaling adalah seperti berikut:-
- Satu (1) projek di Daerah Hulu Langat dengan kos projek RM64.0 juta
- Lima (5) projek di Daerah Klang dengan jumlah kos projek RM63.9 juta
- Lima (5) projek di Daerah Petaling dengan jumlah kos projek RM88.7 juta
Maklumat keberkesanan projek tersebut ditunjukkan dalam jadual di bawah:-
Maklumat Tambahan Mengenai Skim Jaminan Air Mentah (SJAM)
Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor bersama-sama dengan semua agensi membuat persediaan seperti berikut:-
- Perancangan di bawah Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang merangkumi 2 fasa, iaitu Fasa 1 bagi menangani isu pencemaran air di Sungai Selangor dan Fasa 2 bagi memastikan kecukupan air mentah dalam menghadapi musim kemarau;
- Di bawah SJAM Fasa 2, Kerajaan Negeri menumpukan kepada Program Pengurusan Sumber Air secara holistik bagi memastikan simpanan air mencukupi untuk menampung permintaan pada ketika itu. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah melaksanakan pembangunan inventori menyenaraikan semua kolam takungan dan tasik di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor akan memanfaatkan semua kolam takungan dan tasik yang telah disenaraikan tersebut sebagai sumber air alternatif semasa musim kemarau selain dari kolam takungan di bawah Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) sedia ada;
- Kerajaan Negeri Selangor juga meneliti semua prasarana yang berkaitan dengan bekalan air seperti jajaran paip dan sistem pengepaman supaya boleh dioperasikan apabila diperlukan semasa kemarau kelak;
- Beradasarkan kepada unjuran bekalan dan permintaan air yang disediakan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan telah diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), unjuran bekalan air pada tahun 2025 adalah sebanyak 7,156 Juta Liter Sehari (JLH) manakala unjuran permintaan air adalah sebanyak 6,131 JLH. Unjuran ini dbuat berdasarkan kepada pereancangan sekiranya Skim Air Sungai Rasau yang telah diluluskan pelaksanaannya oleh Kerajaan Negeri Selangor dapat disiapkan sepenuhnya pada akhir tahun 2024. Fasa 1 Skim ini dapat membekalkan air sebanyak 700 JLH bagi menampung permintaan kawasan Klang dan siapnya projek ini dapat meningkatkan rizab bekalan air kepada 14.3%;
- LUAS bersama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mengenalpasti dan menyenaraikan punca air bawah tanah untuk dijadikan sebagai sumber air;
- Kerajaan Negeri bersama dengan Air Selangor akan menggiatkan lagi kempen Jimat Air bagi memastikan penggunaan air yang berhemah; dan
- Air Selangor memastikan fasiliti seperti lori tangki, rumah pam dan lain-lain sentiasa dalam keadaan siap siaga.