Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
341) STRATA TITLE DI PUTRA PERDANA
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah dasar Kerajaan Negeri mengenai pindahmilik strata pada individu?
Kerajaan Negeri amat komited dalam usaha melaksanakan proses pendaftaran pindah milik strata yang cekap dan berkesan kepada pemilik petak mengikut prosedur serta piagam yang telah ditetapkan. Dalam hal ini, komitmen pemilik tanah atau pihak pemaju melalui syarikat guaman yang dilantik turut memainkan peranan penting bagi memastikan urusan pindah milik tersebut dapat dilaksanakan dengan teratur.
-
Apakah langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk menyelesaikan masalah rumah-rumah yang masih belum mendapat strata title?
Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan khusus bagi menyelesaikan isu hakmilik di Taman Putra Perdana, Mukim Dengkil, Daerah Sepang. Jawatankuasa ini bertanggungjawab sebagai pemudah cara bagi membolehkan isu butiran hasil tanah yang berkaitan dapat diselesaikan sebelum pengeluaran hakmilik dapat dilaksanakan. Pada masa ini, proses pelaksanaan bagi isu hakmilik strata adalah ditumpukan sehingga urusan hakmilik tetap dapat dikeluarkan.
-
Apakah statistik untuk rumah-rumah yang terlibat dan juga tempoh masa yang diambil untuk menyelesaikan isu ini secara khususnya di DUN Dengkil?
DUN Dengkil terletak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Sepang (MPS). Statistik pembangunan berstrata yang masih belum dikeluarkan hakmilik di bawah pentadbiran MPS sehingga 15 Oktober 2024 adalah seperti berikut:
BIL PIHAK BERKUASA TEMPATAN BILANGAN SKIM
BILANGAN PETAK
1. Majlis Perbandaran Sepang 71
13,153
Jumlah 71
13,153
Untuk makluman Yang Berhormat juga, secara umumnya, pengeluaran hakmilik strata dianggarkan mengambil masa selama 6 bulan daripada tarikh permohonan Pecah Bahagi Bangunan (PBB) sehingga pendaftaran Hakmilik Strata. Tempoh tersebut tidak mengambil kira masa yang diperlukan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Cawangan Negeri Selangor (JUPEM) bagi pengeluaran pelan hakmilik strata dan juga mengambil kira komitmen juruukur yang dilantik oleh pemilik tanah atau pemaju. Walau bagaimanapun, Pengarah Tanah dan Galian tidak boleh meluluskan permohonan hakmilik strata sekiranya syarat-syarat bagi kelulusan tidak dipenuhi seperti yang tertakluk di bawah Seksyen 10, Akta Hakmilik Strata 1985 (AHS 1985).