Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
239) STESEN/ ALAT PENGECAS EV
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini tentang inisiatif atau usaha Kerajaan Negeri dalam pemasangan stesen/ alat pengecas EV?
Agenda pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EV) ada dinyatakan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dengan sasaran di bawah Teras 3: Kelestarian iaitu Negeri Rendah Karbon sebagai agenda utama menjelang tahun 2025.
Mengambil kira perkembangan positif pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) di negara ini, sasaran Kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan kemudahan stesen pengecas EV sebanyak 1,000 unit seawal tahun 2025 dan bakal menjangkau 4,000 unit seawal tahun 2030 melalui Public Private Partnership iatu usaha sama Kerajaan Negeri dengan penyedia-penyedia fasiliti EV seperti Gentari, PETRONAS dan Tenaga Nasional Berhad.
Kerajaan Negeri Selangor menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sedang menyediakan Garis Panduan Pemasangan Infrastruktur EV di Negeri Selangor yang merangkumi aspek-aspek perancangan, penguatkuasaan dan kawalan serta tatacara dan proses permohonan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
UPEN juga akan mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat bagi menerimapakai Pekeliling Setiausaha Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Bil. 3 Tahun 2023 – Garis Panduan Perancangan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (GPP EVCB) dan Prosedur Permohonan Pemajuan yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa (PLANMalaysia). Garis panduan ini adalah selaras dengan:
- komitmen Kerajaan Negeri untuk mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45% menjelang tahun 2030 dan sifar karbon pada 2050;
- sasaran Kerajaan Negeri untuk memperluaskan kemudahan stesen pengecas EV di seluruh negeri di mana 1,000 unit pengecas menjelang tahun 2025 dan 4,000 unit menjelang tahun 2030.
Antara objektif utama GPP EVCB dan Prosedur Permohonan Pemajuan adalah untuk:
- menggariskan panduan perancangan pemajuan petak pengecasan EV serta membuat penambahbaikan bagi mengurangkan birokrasi yang menjejaskan tempoh proses kelulusan dalam pembinaan infrastruktur pengecasan;
- memastikan tatacara pemasangan stesen pengecas EV dilaksanakan mengikut tatacara/keperluan yang ditetapkan serta pemilihan jenis kemudahan yang sesuai dilokasi yang betul;
- menyelaras dan memudahcarakan proses permohonan dan kelulusan pemajuan stesen pengecas EV yang seragam dan menyeluruh; dan
- meningkatkan tahap kepatuhan dan kebertanggungjawaban pihak berkepentingan terutama pemain industri EV ke atas aspek keselamatan awam.
Terkini, Kerajaan Negeri menerusi UPEN dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan serta berunding dengan rakan strategik berhubung inisiatif untuk memperkasakan agenda kelestarian di negeri Selangor. Matlamat pembangunan stesen pengecas kenderaan elektrik adalah sebagai:
- langkah untuk mempercepatkan transformasi kepada kenderaan elektrik; dan
- pemangkin kepada inisiatif green mobility yang mensasarkan 40% penggunaan kenderaan elektrik oleh Kerajaan Negeri dan agensi serta badan berkanun di bawah Kerajaan Negeri menjelang tahun 2030.
-
Setakat ini, berapakah jumlah stesen/ alat pengecas EV yang telah direkodkan mengikut PBT?
Jumlah stesen/alat pengecas EV yang telah direkodkan mengikut PBT termasuk di bawah seliaan PBT dan Pihak Swasta berjumlah 231 unit seperti jadual di bawah: