Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

209) STATUS TERKINI WIFI SMART SELANGOR & BANTUAN AKSES INTERNET KE SEKOLAH-SEKOLAH YANG LEBIH BAIK

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Difahamkan Wifi Smart Selangor akan ditamatkan. Apakah status terkini mengenainya. Bagaimana pula status terkini projek Wifi Smart Selangor yang bekerjasama dengan PPAS & SMARTSEL Sdn. Bhd?

    Untuk makluman Yang Berhormat, perkhidmatan WiFi Smart Selangor telah dinyahaktif bagi memberi ruang kepada pelaksanaan proses semakan semula keberkesanan perkhidmatan tersebut. Sehingga kini, sebanyak 1,470 unit Access Point (AP) WiFi Smart Selangor telah dinyahaktifkan secara berperingkat. Setakat ini, hanya 130 unit AP yang masih aktif dan akan dikekalkan sehingga akhir tahun 2024 sebelum perancangan baharu dimulakan. Pemakluman mengenai penyahaktifan ini telah disampaikan melalui laman media sosial WiFi Smart Selangor, dan pengguna boleh menyampaikan pendapat serta cadangan mereka mengenai kemudahan WiFi percuma ini melalui saluran emel ke wifismartselangor@smartsel.my.

    Bagi projek usahasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), perbincangan lanjut sedang dijalankan untuk menambah baik liputan kemudahan rangkaian internet di perpustakaan milikan PPAS. Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada penduduk setempat menikmati kemudahan internet percuma yang disediakan.

  2. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Keraajaan Negeri untuk memastikan membantu sekolah-sekolah mendapatkan akses internet yang lebih baik dan bukan sekadar 30 mbps?

    Untuk makluman Yang Berhormat, sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan adalah tertakluk kepada bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, satu solusi bagi penyediaan internet yang lebih murah dan pantas sedang dijalankan melalui Projek PoP (Hab Rangkaian Gentian Optik Point of Presence) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia.

    Walau bagaimanapun, bagi sekolah-sekolah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri seperti Sekolah Rendah Agama dan Sekolah Agama Integrasi, melalui inisiatif WiFi Smart Selangor sebelum aktiviti penyahaktifan dilakukan, sekolah-sekolah ini telah mendapat akses internet dengan kelajuan sehingga 800Mbps. Kajian semula keberkesanan WiFi Smart Selangor dijangka akan membantu sekolah-sekolah ini mendapatkan liputan perkhidmatan yang lebih baik apabila diaktifkan semula kelak.

Lampiran

Tiada Lampiran.