Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

74) STATUS TERKINI PROJEK PERUMAHAN LADANG SUNGAI SEDU, BANTING

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Loh Chee Heng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini Projek Perumahan Ladang Sungai Sedu, Banting yang kini diduduki seramai ratusan keluarga?

    Dimaklumkan oleh Majlis Daerah Kuala Langat, tiada sebarang permohonan untuk memajukan kawasan Ladang Sungai Sedu, Banting sebagai tapak perumahan.

    Namun begitu, projek sedia ada dalam proses pembinaan adalah Projek Pembangunan Pejabat Daerah, Projek Pembangunan Mahkamah Syariah dan Projek Pembangunan Giant Hypermarket. Setakat ini tiada permohonan dari mana-mana pemaju untuk menjalankan Projek Perumahan di kawasan berkenaan.

  2. Adakah Kerajaan negeri bersedia membina rumah mampu milik untuk menempatkan penduduk-penduduk di sini?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Konsep Perumahan Ladang adalah berbeza daripada Rumah Mampu Milik (Rumah Selangorku). Konsep Rumah Selangorku seperti yang termaktub di dalam Pekeliling Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Bilangan 1 Tahun 2013, Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor (Rumah Selangorku) adalah seperti berikut :

    • Mengambil kira ketidakmampuan pembeli yang berpendapatan sederhana rendah dan sederhana khususnya golongan muda (pasangan muda) untuk memiliki rumah;
    • Mengambil kira pendapatan pembeli di antara RM3,000.00 sehinggalah RM8,000.00 sebulan;
    • Mempunyai kepelbagaian dari segi saiz, jenis dan reka bentuk rumah;
    • Penyediaan rumah yang mampu dibeli dengan harga jualan di antara RM42,000.00 sehingga RM250,000.00.

    Buat masa ini, LPHS belum ada perancangan untuk membina Rumah Selangorku di Ladang Sungai Sedu, Banting. Walau bagaimanapun, penduduk ladang yang terlibat boleh mengemukakan permohonan untuk membeli Rumah Selangorku yang dibina oleh LPHS untuk dipertimbangkan. Projek rumah Selangorku yang dibina oleh LPHS buat masa ini adalah di Sg Sering, Hulu Kelang, Daerah Gombak yang mengandungi 2,496 unit dan dijual pada harga antara RM200,000.00 hingga RM250,000.00 seunit.

    Konsep Projek Perumahan Ladang adalah berbeza daripada Rumah Mampu Milik  atau Rumah Selangorku seperti di Pekeliling Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor Bilangan 1 Tahun 2013,  Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor (Rumah Selangorku)

Lampiran

Tiada Lampiran.