Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

208) STATUS TERKINI MENGENAI USAHA KERAJAAN DI BIDANG PENGAJIAN KETERJAMINAN MAKANAN, AUTOMOTIF & AEROANGKASA YANG PERLU DIBERI PERHATIAN

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Daripada jawapan bertulis yang lepas, dua bidang pengajian yang perlu diberi perhatian dalam konteks Kerajaan Negeri yang masih belum ada setakat ini iaitu keterjaminan makanan dan automotive & aeroangkasa. Apakah status terkini mengenainya dan usaha-usaha yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk perkara ini?

    Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi menarik minat graduan lepasan SPM untuk meneruskan pengajian mereka dalam bidang teknikal dan vokasional (TVET) di institusi Pendidikan di bawah Kerajaan Negeri Selangor dan beberapa pusat latihan berkaitan. Terdapat beberapa program dan bidang pengajian yang masih dalam kajian keperluan dan keboleh pasaran industri antaranya keterjaminan makanan dan automotif & aeroangkasa. Program ini perlu diberi perhatian memandangkan ia adalah antara fokus utama Kerajaan (Pusat dan Negeri) bagi menangani beberapa isu ekonomi dan sara diri. Program Perantisan Aeroangkasa Selangor bersama GE Malaysia telah diperkenalkan pada tahun 2022 yang terdiri daripada dua (2) program iaitu GE Aerospace Engineering Technical Programme dan Engine Maintenance Apprentice. Pelatih dalam program ini akan didedahkan dengan kursus berkaitan secara teknikal dan bakal berkhidmat di Syarikat GE atau mana-mana syarikat aeroangkasa yang berpengkalan di Selangor khususnya dalam merealisasikan hasrat melahirkan bakat baharu dalam bidang aeroangkasa. Selain daripada itu, beberapa kerjasama baharu juga akan dilaksanakan bersama syarikat yang berkaitan agar lebih ramai graduan dalam bidang automotif yang ditawarkan di STDC bagi melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang ini dan memberi manfaat kepada Negeri Selangor melalui program IKTISASS. Kerjasama ini antaranya menyediakan program pembelajaran dalam bidang automotif, latihan industri dalam syarikat yang berkaitan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, bagi bidang pengajian keterjaminan makanan ia masih dalam proses kajian keperluan dan modul yang bersesuaian sebelum diperkenalkan kepada pelajar. Antara usaha ke arah merealisasikan bidang ini adalah kajian terhadap bidang Pertanian Bersepadu (Integrated Farming) dan Penternakan Ikan di UNISEL yang masih dalam status pelaksanaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.