Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
212) STATUS TERKINI KEWANGAN NEGERI SELANGOR
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini kedudukan kewangan Negeri Selangor?
Saya ingin menjawab soalan yang dikemukakan daripada YB Sijangkang (soalan 212) dan YB Subang Jaya (soalan 268) yang bertanyakan soalan yang sama berkaitan status kewangan terkini Kerajaan Negeri Selangor. Seterusnya YB Sijangkang (soalan 212), YB Sungai Panjang (soalan 219) dan YB Rawang (soalan 273) bertanyakan kesan Pandemik Covid-19 ke atas prestasi kewangan Kerajaan Negeri. Manakala YB Bukit Gasing (soalan 262) pula bertanyakan tentang unjuran defisit tahun 2020 mengambilkira kesan ini. Kedudukan Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri sehingga 30 Jun 2020 merekodkan angka sebanyak RM2,832.28 Juta yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM929.08 Juta manakala Akaun Amanah Disatukan pula adalah sebanyak RM1,903.20 Juta.
-
Adakah pandemik Covid-19 dijangka memberi kesan kepada prestasi buruk kewangan Negeri Selangor hingga hujung tahun ini?
Prestasi Kewangan Kerajaan Negeri sehingga 30 Jun 2020 adalah masih stabil dengan merekodkan kutipan hasil sebanyak RM1,527.61 Juta. Angka ini adalah 69.44 peratus daripada RM2,200.00 Juta yang telah disasarkan dalam belanjawan 2020. Manakala jumlah perbelanjaan mengurus dan pembangunan pula telah mencecah RM948.22 Juta atau bersamaan dengan 40.64 peratus daripada RM2,333.00 Juta yang telah dibelanjawankan. Kerajaan Negeri masih merekodkan lebihan sebanyak RM579.39 Juta sehingga 30 Jun 2020.