Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
114) STATUS SIASATAN BUMBUNG GELANGGANG FUTSAL DEWAN MPK MERU YANG ROBOH
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status dan keputusan siasatan bumbung gelanggan futsal yang telah runtuh pada tahun 2021?
Hasil siasatan daripada Majlis Perbandaran Klang mendapati punca kejadian bumbung gelanggang futsal roboh adalah disebabkan oleh bencana kejadian angin ribut yang amat kuat skala beaufort 13 meter/saat dikategorikan sebagai angin ribut dan boleh menyebabkan kemusnahan struktur. Pada hari kejadian juga, sebuah pondok bas telah ditimpa oleh pokok dan telah menyebabkan kerosakan yang teruk.
Untuk makluman struktur yang telah dibina adalah mengikut spesifikasi dan rekabentuk yang optimum di mana tiga lagi gelanggang yang seumpamanya telah dibina di Taman Berkeley, Taman Muhibbah dan Taman Klang Utama dan semuanya masih kukuh sehingga kini. Oleh yang demikian, faktor kegagalan struktur tidak timbul sama sekali dan binaan telah dibina mengikut pelan bina yang disediakan oleh pihak Majlis. Perkara ini juga telah dirujuk ke pihak JKR Daerah Klang dan telah memberikan maklumat yang hampir sama tentang punca kejadian tersebut.
KRONOLOGI
Pada 5 Mei 2021 di antara jam 6.30 petang hingga 7.30 malam, satu kejadian ribut telah melanda kawasan Meru dan sekitar dan menyebabkan kemudahan awam dan pokok tumbang termasuk struktur berbumbung gelanggang futsal di Dewan Meru, Klang.
Punca kejadian ini adalah disebabkan oleh tujahan angin ribut yang tidak diketahui kelajuannya ke atas bumbung binaan dan menyebabkan kegagalan pada struktur bawah melibatkan 2 daripada tiang struktur berkenaan rebah dan menyebabkan sebahagian struktur terlibat sama. Binaan tersebut dibina berdasarkan kepada rekabentuk standard Majlis.
Satu laporan polis telah dibuat pada 5 Mei 2021 di Balai Polis Meru (No.Repot : MERU/002186/21).
Pemberitahuan repot polis diterima dari Balai Polis Meru pada 7 Mei 2021 dengan menyatakan repot tersebut perlu dirujuk ke Insuran dan diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi.
Laporan dari Jabatan Meteorologi Malaysia yang diterima pada 17 Mei 2021 juga menunjukkan terdapat tiupan angin pada kadar 13.4 meter/saat (dikategorikan sebagai ribut mengikut skala beaufort) pada jam 6.33 petang.
Anggaran kos pembaikan adalah sebanyak RM850,000.00 (Ringgit Malaysia Lapan Ratus Lima Puluh Ribu).
-
Adakah MPK akan menganti dan membina semula struktur bumbung gelanggang futsal ini?
Pihak MPK akan mengganti semula berdasarkan kepada peruntukan dan tuntutan daripada pihak insuran selesai. Pihak insurans juga telah menyiasat kejadian tersebut dan di peringkat mendapatkan tuntutan kerugian yang dialami