Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
55) STATUS PROJEK SABDA
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sejauh manakah projek ini telah dimulakan?
Projek di bawah SABDA yang telah mencapai kemajuan yang berimpak adalah seperti berikut:
- Setakat 30 September 2023, jajaran WCE yang mempunyai tujuh (7) sektor dalam Negeri Selangor telahpun mencapai kemajuan purata 88.7%, dengan sektor kelima (5) Bandar Bukit Raja (Selatan) – Bandar Bukit Raja (Utara) telahpun siap sepenuhnya dan dibuka kepada pengguna. Jajaran WCE yang menuju ke kawasan SABDA iaitu sektor ketujuh (7) diantara Assam Jawa – Tanjong Karang adalah pada kadar kemajuan 64%.
- Pejabat operasi dan ruang pameran Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi Sabak Bernam juga telah siap dibina dan mula beroperasi secara berfasa. Ruang pameran tersebut akan berfungsi sebagai one-stop-centre untuk mempamerkan maklumat mengenai projek-projek di bawah SABDA, manakala pejabat operasi tersebut menyediakan tempat bermesyuarat dan mengadakan perbincangan untuk memudahkan pelaksanaan dan pemantauan projek-projek di bawah SABDA.
- Projek penaiktarafan infrastruktur bangunan Pusat Konservasi Kelip-kelip Sungai Panjang telahpun siap sepenuhnya dan waktu operasi adalah setiap hari dari 6 petang – 10 malam. Infrastruktur aktiviti eko-pelancongan untuk melihat kelip-kelip di sepanjang 3km Sungai Panjang ini akan ditambahbaik dari semasa ke semasa bagi memastikan pengalaman yang menarik dan selesa bagi para pelancong.
- Projek eko-pelancongan Ban Canal merupakan projek yang dijalankan secara berlangsungan, dimana satu acara Karnival Ban Canal akan diadakan setiap tahun untuk mempromosikan tarikan pelancongan, produk dan aktiviti di kawasan SABDA. Infrastruktur untuk melaksanakan aktiviti ini juga akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa, bergantung kepada keperluan dan kesesuaian, seperti kemungkinan membina struktur pontoon yang kekal untuk mengendalikan acara kayak ketika Karnival Ban Canal tersebut.
Projek pertanian Selangor Smart Agro Park (SSAP) @ Sungai Air Tawar adalah sedang dalam pelaksanaan, dimana jenis tanaman telah dikenalpasti iaitu pembenihan Kelapa MATAG. Namun pada masa ini, tanaman kontan seperti nenas, serai, jagung dan lain-lain sedang ditanam mengikut kesesuaian sementara menunggu hasil pembenihan Kelapa MATAG. Penanaman telahpun bermula dan Jabatan Pertanian Selangor akan memantau pengeluaran benih Kelapa MATAG ini.
Maklumat daripada laman sesawang WCE untuk rujukan lanjut.
Pautan laman sesawang MDSB bagi Pusat Konservasi Kelip-kelip Sg Panjang untuk rujukan lanjut.
https://www.mdsb.gov.my/index.php/ms/pelawat/destinasi-menarik/peta-destinasi-menarik
-
Apakah syarikat dan rakan kongsi yang terlibat dalam projek kilang pemprosesan ikan tuna di Sungai Lang?
Syarikat dan rakan kongsi yang terlibat adalah Alpha Ocean Resources Berhad (AORB).
AORB adalah syarikat perikanan dan perdagangan tuna berpangkalan di Malaysia, yang memberi tumpuan kepada Pembekalan Ikan Tuna Premium dan Produk Laut Dalam, dengan mengeksport makanan beku di pasaran tempatan dan antarabangsa seperti China, Jepun, Singapura, Thailand dan Vietnam, dan juga telah mengembangkan produk melalui eksport ke negara Eropah dan negara-negara Arab Timur Tengah (Middle East). AORB juga telah tersenarai di dalam Pasaran Bursa Malaysia sejak tahun 2021 dalam kategori pasaran Leap Market.
Syarikat AORB telah diberi lesen serta kelulusan oleh Jabatan Perikanan Malaysia dan Indian Ocean Tuna Commision (IOTC) untuk menangkap ikan tuna (dan spesis seperti tuna) secara komersial di Lautan Hindi. AORB melaksanakan perusahaan yang dipanggil integrasi vertikal dimana ia mengendali produk daripada tangkapan sehingga ke pengeluaran produk akhir. Daripada penangkapan di laut dalam, mengendali ikan melalui pembersihan, pensterilan, sanitasi dan pemeriksaan produk akhir, siap-sedia untuk dijual dan dieksport ke pasaran antarabangsa. Produk-produk yang dihasilkan oleh AORB adalah tuna segar, tuna beku dan tuna super sejuk-beku. AORB juga mempunyai jenama tuna tersendiri iaitu Shinkai Origin yang mempromosi produk tuna Malaysia yang berkualiti tinggi.
Buat masa ini AORB memiliki 4 buah vesel iaitu Ibu Wira 1, Ibu Wira 2, Ibu Wira 3 dan Ibu Wira 7 yang beroperasi di Lautan Hindi dan 2 buah vesel iaitu Ibu Wira 6 dan Cahaya Reformasi yang beroperasi di Exclusive Economic Zone (EEZ) Sabah. Vesel-vesel AORB dilengkapi dengan bilik penyejuk beku bagi mengekalkan kesegaran ikan sehingga 6 bulan, peralatan memantau suhu air dan juga peralatan bagi mengukur saiz ikan dan lain lain peralatan bagi menjalankan operasi penangkapan di laut dalam.
Nota : rujukan laman sesawang Indian Ocean Tuna Commision https://iotc.org/