Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
266) STATUS PROJEK MELEBARKAN DAN MENDALAMKAN SG KLANG
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status projek untuk mendalamkan dan melebarkan Sungai Klang bagi mengatasi isu banjir?
Cadangan “Projek Mendalamkan dan Melebarkan Sungai Klang Termasuk Meninggikan Ban Sungai Klang” dengan anggaran kos sebanyak RM700 juta telah dibentangkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada bulan Februari 2022 dan dalam proses pertimbangan oleh Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan oleh Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) iaitu Landasan Lumayan Sdn. Bhd.
Selain itu, JPS Malaysia sedang menjalankan “Kajian Pelan Induk Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Klang” yang telah bermula pada 1 Oktober 2021 dan dijangka siap pada 30 September 2023 dengan kos kajian sebanyak RM2 juta. Skop kajian merangkumi Lembangan Sungai Klang seluas 1,297 km persegi dan panjang 120 km dari Empangan Klang Gates sehingga ke Pelabuhan Klang yang melibatkan sungai-sungai seperti berikut:-
- Sungai Gombak
- Sungai Batu
- Sungai Ampang
- Sungai Keroh
- Sungai Kerayong
- Sungai Kuyoh
- Sungai Penchala
- Sungai Rasau
- Sungai Damansara
Skop “Kajian Pelan Induk Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Klang” adalah seperti berikut:-
- Menyediakan pelan induk bagi pelaksanaan projek tebatan banjir yang kos efektif bagi menyokong pengurusan mampan di Lembangan Sungai Klang.
- Mencadangkan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang yang komprehensif untuk mengatasi masalah banjir pada tahap perlindungan banjir yang optimum.
- Memastikan keberkesanan rangkaian infrastruktur tebatan banjir dan kemudahan perparitan sedia ada di dalam kawasan kajian dengan mengambil kira impak alam sekitar dan sosial.
- Menghasilkan Peta Banjir, Peta Kerosakan Banjir, Peta Risiko Banjir, dan Peta Pemindahan Banjir untuk Lembangan Sungai Klang.