Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
148) STATUS PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini penstrukturan semula industri air?
Tuan Speaker,
- Saya pohon izin Y.B. Tuan Speaker untuk menjawab bersekali soalan No. 148, bahagian (a) oleh Yang Berhormat Bukit Gasing dan soalan 193 bahagian dari Yang Berhormat Bukit Lanjan
- Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 01 Ogos 2018 telah meluluskan penyelesaian pelaksanaan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan pengambilalihan SPLASH berdasarkan kepada rundingan dan persetujuan yang telah dicapai bersama antara Kerajaan Negeri Selangor, Air Selangor dan Pemegang Saham SPLASH, yang terdiri dari Gamuda Berhad (“Gamuda”) (40%), The Sweet Water Alliance (“TSWA”) (30%) dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (“KPS”) (30%).
- Berdasarkan kepada ketetapan yang telah dibuat di dalam MMKN tersebut, pada 03 Ogos 2018, Kerajaan Negeri Selangor melalui Air Selangor telah pun mengemukakan surat tawaran pengambilalihan kepada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH). Tawaran ini dibuat kepada Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Berhad (SPLASH Holdings), pemegang saham tunggal SPLASH.
- SPLASH Holdings telah menerima tawaran Air Selangor untuk mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) secara prinsipnya pada 9 Ogos 2018. Perjanjian Pembelian Saham (Share Purchase Agreement, SPA) telah berjaya dimeterai pada 28 September 2018. SPA tersebut dijangka akan diselesaikan di dalam tempoh antara tiga (3) sehingga enam (6)
- Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Air Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui surat bertarikh 13 November 2018 telah menyampaikan keputusan Memorandum Jemaah Menteri bertajuk “Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Selangor berserta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 26 Oktober 2018” telah bersetuju dengan Pengambilalihan SPLASH oleh Kerajaan Negeri Selangor berjumlah 55 bilion dilaksanakan melalui kaedah pembiayaan seperti berikut:-
- Penyediaan kemudahan pembiayaan oleh Kerajaan Persekutuan melalui PAAB berjumlah RM1.9 bilion secara lump sum seperti berikut:-
- Pembiayaan melalui baki kemudahan pembiayaan di bawah Perjanjian Utama berjumlah RM317,565,425.00;
- Pembiayaan melalui kemudahan tambahan berjumlah RM1.583 bilion.
- Pembiayaan oleh Kerajaan Negeri Selangor berjumlah RM650 juta melalui Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor).
- Berdasarkan kepada persetujuan yang telah dicapai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berhubung pembiayaan pengambilalihan SPLASH dan mengambil kira penyediaan dan penyempurnaan dokumentasi yang terlibat seperti penamatan Perjanjian Konsesi Air sedia ada, pindaan ke tiga kepada Perjanjian Utama, penerbitan bon oleh PAAB, pengeluaran lesen oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan lain-lain dokumentasi yang terlibat, maka adalah dijangkakan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Negeri Selangor ini dapat diselesaikan sepenuhnya tidak lewat dari 30 Mac
-
Adakah tariff air akan berubah?
Tuan Speaker,
- Tarif air pada ketika ini adalah berdasarkan kadar tarif yang diluluskan pada tahun 2006 dan tiada kenaikan sepanjang 12 tahun ini. Jika merujuk kepada Perjanjian Konsesi SYABAS, kenaikan tarif untuk kali kelima adalah pada 1 Januari 2018 dengan kadar purata sebanyak RM3.15 bagi setiap meter padu berbanding kadar yang sedang dinikmati ketika ini sebanyak RM1.39. Dengan mengambil kira lima kali kenaikan tarif seperti di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS, rakyat akan dibebani dengan kadar tarif sebanyak 227% lebih tinggi berbanding dengan tarif yang sedang dinikmati
- Secara ringkasnya, tarif air di Selangor adalah di peringkat pertengahan, di mana secara purata ia adalah lebih rendah berbanding Johor, tetapi lebih tinggi berbanding Pulau Pinang. Sebagai contoh, bagi penggunaan domestik sehingga 20 meter padu, Johor mengenakan caj RM0.80 bagi setiap meter padu, berbanding RM0.57 di Selangor dan RM0.22 di Pulau Pinang.
- Semenjak tahun 2008, Kerajaan Negeri Selangor berpendirian untuk tidak mempertimbangkan permohonan pelarasan tarif yang dikemukakan oleh SYABAS ketika itu memandangkan cadangan kenaikan kadar purata dari 39 setiap meter padu kepada RM3.15 setiap meter padu akan membebankan rakyat. Sebagai Kerajaan yang mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat dan dalam merealisasikan Agenda Peduli Rakyat, Kerajaan Negeri akan terus menjamin kepentingan rakyat dalam menetapkan kadar tarif. Apa yang dipentingkan oleh Kerajaan Negeri adalah untuk memastikan Air Selangor dapat memberikan perkhidmatan bekalan air yang cekap dan efisien.
- Kerajaan Negeri tidak menafikan keperluan tarif yang munasabah dalam usaha untuk memastikan industri perkhidmatan air yang mampan, namun sebarang langkah untuk menetapkan kadar tarif akan mengambil kira bebanan yang ditanggung oleh rakyat dan masa yang sesuai untuk kenaikan tersebut.