Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

68) STATUS PENCERAMAH AGAMA YANG MENYAMPAIKAN KANDUNGAN BERUNSUR POLITIK DI MASJID

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini penceramah agama yang menyampaikan kuliah subuh berunsur politik di sebuah masjid di Daerah Kuala Langat pada beberapa bulan lalu bernama Mohd Meeftah Bin Anuar terutamanya tauliah mengajar agama yang dipegang olehnya?

    Mohd Meeftah bin Anuar akan dipanggil untuk sesi pendengaran. Jawatankuasa Tauliah akan membuat keputusan setelah beliau diberi peluang untuk didengar. Tindakan ini bagi menepati Perkara 18 Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 iaitu;

     

    Jawatankuasa tidak boleh menggantung atau menarik balik sesuatu Tauliah, mengikut mana berkenaan, melainkan Pemegang Tauliah itu telah diberi peluang untuk didengar.

  2. Apakah sebarang tindakan terhadapnya yang dibuat ekoran daripada perbuatannya itu sama ada oleh Jabatan Agama Islam Selangor atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang merupakan majikannya?

    Penama telah diberikan notis penjelasan bertulis pada 27 Februari 2023. Sesi pendengaran telah ditetapkan pada 16 Mac 2023. Pihak JAKIM telah mengeluarkan surat pertuduhan pelanggaran tatakelakuan kepada penama. Mesyuarat Lembaga Tatatertib bagi membuat keputusan ke atas pelanggaran tatakelakuan yang dilakukakan penama akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

  3. Adakah perbuatan tersebut boleh diklasifikasikan sebagai melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan?

    Perbuatan tersebut boleh diklasifikasikan sebagai melanggar Peraturan 17(c) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 iaitu;

     

    1. Jawatankuasa boleh menggantung atau menarik balik sesuatu Tauliah yang telah dikeluarkan kepada seseorang Pemegang Tauliah, mengikut mana yang berkenaan, jika Jawatankuasa mendapati bahawa –

    (c)            Pemegang Tauliah memberi ceramah umum atau memberi pengajaran agama Islam yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan benci atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak suka terhadap Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri atau bagi mengembangkan perasaan buruk sangka dan permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk Malaysia.

Lampiran

Tiada Lampiran.