Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

39) STATUS MASJID PENGURUSAN

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kriteria yang menyebabkan sebuah masjid dijadikan sebagai masjid pengurusan?

    Tiada kriteria khusus. Penetapan suatu masjid sebagai masjid kariah atau masjid pengurusan merupakan hak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang diperuntukkan di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor (Negeri Selangor) Tahun 2003 yang bertujuan untuk menaiktaraf pengurusan masjid di Negeri Selangor. Oleh kerana itu, diperingkat pelaksanaannya terdapat beberapa kategori masjid yang diklasifikasikan sebagai masjid pengurusan iaitu:-

     

    1. Semua Masjid Diraja Negeri Selangor
    2. Semua Masjid Daerah
    • Sebahagian masjid baru yang baru siap dibina
    1. Sebahagian masjid kariah yang menghadapi masalah serta konflik dengan ahli kariah.

     

    Pelaksanaannya juga tertakluk dengan pewujudan atau penambahan waran perjawatan tetap atau kontrak dari MAIS atau kerajaan Negeri Selangor.

  2. Adakah ianya mengambil kira kehendak dan pandangan anak kariah?

    Sebarang keputusan dalam menetapkan sesuatu masjid sebagai masjid pengurusan adalah dibawah bidangkuasa Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid Dan Surau Negeri Selangor (JATUMS) yang diwujudkan bagi mewakili MAIS bagi menunaikan tanggungjawab, kewajipan atau perjalanan kuasa-kuasa MAIS mengikut Seksyen 27 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor Tahun 2003 Pindaan 2016.

  3. Tidakkah di dalam undang-undang pentadbiran agama Islam menetapkan bahawa sebuah masjid hendaklah dibentuk sebuah jawatankuasa bagi mentadbirnya teridiri dari anak kariah?

    Seksyen 104 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 memperuntukkan ;

    Majlis boleh, dengan kelulusan Duli Yang Maha Mulia Sultan, membuat peraturan-peraturan bagi –

    1. penubuhan Jawatankuasa Kariah bagi sesuatu masjid;
    2. Penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Masjid, pelantikannya dan penamatannya dan fungsi Jawatankuasa Pengurusan Masjid.

    Seksyen 104 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 pula memperuntukkan:-

    “Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Enakmen ini, Majlis boleh, demi kelicinan dan manfaat pentadbiran sesuatu masjid dan surau atau atas alasan lain yang boleh ditetapkan melalui peraturan-perturan yang dibuat di bawah Enakmen ini –

    1. Menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Masjid bagi sesuatu kariah masjid atau menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Surau bagi sesuatu kariah surau; atau

     

    1. Membatalkan penubuhan sessuatu jawatankuasa kariah bagi sesuatu masjid atau membatalkan penubuhan Jawatankuasa Surau dan sebagai gantinya menubuhkan suatu Jawatankuasa Pengurusan Masjid atau Jawatankuasa Pengurusan Surau dengan apa-apa terma dan syarat yang difikirkan sesuai dan wajar.

Lampiran

Tiada Lampiran.