Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

362) STATUS ADUN BUKAN KERAJAAN DALAM JAWATANKUASA TINDAKAN PEMBANGUNAN DAERAH

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mesyuarat jawatankuasa tindakan pembangunan daerah adalah sebuah platform yang penting dalam pembangunan sesebuah kawasan. Apakah status ADN-ADN bukan kerajaan dalam keterlibatan dalam jawatankuasa ini?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Pegawai Daerah di setiap Daerah di Selangor adalah sebagai Pengerusi bagi Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JPTD) selaras Arahan No. 1 Tahun 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia pada 7hb Februari 2023. Untuk keahlian mesyuarat pula, barisan ahli jawatankuasa di peringkat daerah hendaklah dilantik secara rasmi oleh Pengerusi, manakala bagi Ketua Jabatan/Agensi Kerajaan serta mana-mana badan yang dijemput berasaskan isu yang dibincangkan.

    Kerajaan Negeri Selangor telah disarankan untuk melaksanakan arahan ini melalui mekanisme penyelarasan iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JPTD). Arahan ini bertujuan untuk menjelaskan mekanisme penyelarasan perancangan, pelaksanaan dan penilaian program/projek di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) termasuk inisiatif ke arah kesejahteraan rakyat serta inisiatif-inisiatif semasa Kerajaan di peringkat persekutuan, negeri dan daerah. Dalam masa sama, mekanisme penyelarasan ini juga bermatlamat menyokong dan merealisasikan dasar bagi pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang, memberikan nilai yang lebih tinggi dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang kompetitif, berintegriti, mampan dan sejahtera.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) yang disarankan Perdana Menteri tersebut adalah wadah untuk agensi kerajaan di daerah dan langkah-langkah yang dibincang dalam mesyuarat JTPD ini termasuk mewujudkan pembangunan seimbang di bandar dan kampung supaya pembangunan dapat dirancang secara teratur di samping mengatasi masalah pertindihan fungsi serta peranan jabatan kerajaan.

    Perkara yang turut dibincang termasuk isu prasarana seperti kemudahan jalan raya, elektrik, air, pendidikan dan kesihatan. Mesyuarat Jawatankuasa ini yang melibatkan semua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan juga sangat penting supaya tidak lagi berlaku pertindihan fungsi dan peranan, bahkan mengelakkan pertindihan peruntukan yang boleh menyebabkan pembaziran.

    Strategi utama Arahan No. 1 2023 Mekanisme Penyelarasan Pelaksanaan Pembangunan Negara (Arahan) adalah seperti berikut:

    1. Memperkemas mekanisme pemantauan dan pengesanan jurang pencapaian program/projek pembangunan bagi memastikan penyertaan yang seimbang di kalangan kumpulan etnik, kumpulan pendapatan dan wilayah serta menyokong usaha ke arah pertumbuhan ekonomi negara;
      2. Memperkukuh instrumen komunikasi dan memastikan penglibatan bersama Anggota Pentadbiran ke arah penyampaian matlamat pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat;
      3. Meningkatkan kecekapan dan keberkesanan program/projek pembangunan menerusi pemantapan keseluruhan kitaran program/projek merangkumi perancangan, pemantauan dan penilaian bagi menyokong pembangunan negara;
      4. Memperhebat penyelarasan dan pemantauan projek di lapangan bagi meminimumkan risiko kegagalan program/projek pembangunan melalui tindakan intervensi di peringkat persekutuan, negeri dan daerah; dan
      Memperkemas dan memperkukuh penyelarasan serta memastikan keberkesanan dasar dan inisiatif kesejahteraan rakyat di peringkat persekutuan, negeri dan daerah.

Lampiran

Tiada Lampiran.