Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

155) STATISTIK PROGRAM MERAKYATKAN EKONOMI SELANGOR (MES)

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan statistik penerima program MES mengikut pecahan kaum dan parlimen pada tahun 2014?

    Semua rakyat di Negeri Selangor layak dan mempunyai peluang untuk menikmati manfaat dari Program MES tanpa mengira jantina, kaum, bangsa, fahaman politik dan pegangan agama. Penerima manfaat bagi Program MES mengikut pecahan kaum menunjukkan majoriti penerima merupakan dari kalangan rakyat berbangsa Melayu dengan bilangan seramai 217,012 orang. Kaum kedua tertinggi adalah Cina dengan jumlah seramai 117,890 penerima. Manakala seramai 56,039 orang penerima terdiri dari kaum India.

     

    Ringkasan bagi statistik penerima program MES mengikut pecahan kaum adalah seperti di Lampiran A.

     

     

     

     

     

     

    LAMPIRAN A

    Program MES

    Statistik Penerima Program MES Mengikut Pecahan Kaum

     

    Bagi penerima program MES mengikut pecahan parlimen, statistik menunjukkan penerima bagi program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Mikrokredit Selangor (SkimSel) mencatatkan penerima faedah tertinggi di Parlimen Hulu Langat dengan jumlah seramai 23,440 orang penerima. Manakala untuk program Jom Shopping penerima paling ramai adalah dari Parlimen Subang iaitu seramai 7,834 orang, manakala Skim Bantuan Tadika (TUNAS) mencatatkan penerimaan tertinggi di Parlimen Kapar dengan jumlah 2,043 orang. Parlimen Sepang pula adalah penerima manfaat terbanyak bagi program Skim Kesihatan Wanita (MammoSel).

     

    Ringkasan bagi statistik penerima program MES mengikut pecahan parlimen adalah seperti di Lampiran B.

     

  2. Apakah yang meyakinkan kerajaan negeri bahawa program MES boleh membantu meningkatkan pendapatan rakyat Selangor?

    Pelbagai program telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan kekayaan negeri dapat dikongsi oleh rakyat. Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) adalah salah satu usaha Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat meringankan beban hidup sekaligus membina modal insan yang mampu memajukan diri dan keluarga seiring dengan perkembangan pesat di Negeri Selangor. MES mempunyai dua (2) peranan utama iaitu:

    i) menjamin dan membela kebajikan rakyat; dan

    ii) meningkatkan unsur-unsur keusahawanan di kalangan rakyat di Negeri Selangor.

    Skim Mesra Usia Emas (SMUE) adalah salah satu contoh skim yang diwujudkan khusus untuk menjaga kebajikan rakyat di Negeri Selangor. Ia bertujuan membantu keluarga warga emas atau orang kurang upaya (OKU) yang memenuhi syarat dan berdaftar yang meninggal dunia tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi dan kedudukan sosial mereka. Manfaat berupa wang bernilai RM2,500.00 akan disumbangkan kepada Penama Warga Emas/OKU yang meninggal dunia dan telah berdaftar. RM1,000.00 akan diberikan selepas menerima laporan kematian serta dokumen lengkap diserahkan dan disahkan Pusat Khidmat berdekatan. Baki RM1,500.00 akan diserahkan dalam tempoh sekitar 60 hari berikutnya dalam satu majlis khas.

    Manakala bagi program-program yang diwujudkan untuk meningkatkan unsur-unsur keusahawanan di kalangan rakyat terdiri daripada Program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) dan Skim Mikrokredit Selangor (SkimSel). Skim-skim ini diperkenalkan bertujuan untuk membantu rakyat berdikari dan bukan hanya mengharapkan bantuan kebajikan kerajaan atau ‘welfare’ semata-mata. Peserta program ini berpeluang untuk memajukan diri melalui latihan dan bimbingan komprehensif yang telah dibentuk selaras dengan dasar baru Kerajaan Negeri iaitu ‘workfare’ di mana kekuatan jatidiri individu itu sendiri menjadi teras dalam mengubah nasib keluarga. Skim bantuan yang diberikan kepada rakyat Selangor ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk membebaskan golongan berpendapatan rendah dari kitaran kemiskinan. Sejak mula dilancarkan, ramai usahawan kecil yang menyertai SkimSel dan MiMBAR kini berjaya memperluaskan perniagaan mereka. Skim MiMBAR menyediakan khidmat nasihat, fasilitator dan segala keperluan peniaga dan usahawan yang ingin memohon pinjaman kecil bagi menampung perniagaan mereka. Ianya lebih menumpukan kepada bantuan sokongan yang diperlukan kebanyakan peniaga kecil dan usahawan untuk mereka berdikari di masa hadapan. Skim ini juga membantu peniaga kecil bagi membiayai modal pusingan serta meringankan beban kos pembelian barangan. Selain itu, ia membantu peniaga kecil yang ingin memulakan perniagaan dengan memberikan pinjaman tanpa faedah serta khidmat nasihat secara percuma. Skim ini telah terbukti banyak membantu golongan usahawan kecil di kawasan bandar bagi memajukan perniagaan serta menambah pendapatan mereka. Pengenalan skim ini amat tepat kerana kos sara hidup yang meningkat kini serta harga barangan yang semakin lama semakin mahal menyebabkan rakyat terhimpit dalam memenuhi keperluan seharian.

    SkimSel pula bertujuan membantu golongan miskin berpendapatan kurang RM1,500.00 sebulan memperolehi dana bagi memulakan atau melebar luas perniagaan sedia ada sebagai salah satu usaha membebaskan daripada kepompong kemiskinan. Skim ini menyediakan pembiayaan mudah dan pembayaran yang fleksibel. Ia diwujudkan bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan kurang berkemampuan menerusi aktiviti ekonomi. Ia tidak memerlukan cagaran, tidak dikenakan faedah dan penerima pinjaman tidak akan diheret ke mahkamah. SkimSel mensasarkan rakyat Selangor berpendapatan rendah atau di bawah garis kemiskinan untuk dibantu keluar dari belenggu tersebut. Matlamat program bukan sekadar memberi pembiayaan, tetapi dengan tumpuan meningkatkan pendapatan sadiq (penerima) sekurang-kurangnya RM1,000.00 sebulan. Pembayaran semula program ini juga amat berjaya dengan hampir semua peserta mampu membayar kembali mengikut jadual. Ini menunjukkan bahawa ianya berjaya membantu meningkatkan pendapatan rakyat Selangor. Di samping itu juga, program ini memberi pendedahan kepada sadiq mengenai tatacara kerja berkumpulan organisasi, membantu rakan kerja serta memberi sokongan dalam menjalankan aktiviti bersama.

    Program SkimSel dan MiMBAR ini adalah satu lagi bukti komitmen Kerajaan Selangor untuk mengagihkan hasil kekayaan negeri kepada semua rakyat terutama golongan miskin sejajar dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor demi untuk membantu rakyat keluar dari kepompong kemiskinan melalui bantuan yang berjaya meningkatkan pendapatan.

Lampiran

Tiada Lampiran.