Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

104) STATISTIK PEKERJA LADANG

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Untuk semua ladang yang masih beroperasi di Negeri Selangor, berapakah bilangan pekerja tempatan dan bilangan pekerja asing?

    Ladang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor adalah ladang yang berkeluasan melebihi 20 hektar tanpa mengira jenis tanaman. Mengikut rekod di jabatan, bilangan pekerja tempatan dan pekerja asing ada seperti berikut:-

    Pekerja Tempatan : 2,069 orang pekerja

    Pekerja Asing : 3,205 orang pekerja

  2. Berapakah peratus pekerja tempatan ini mendapat bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri Selangor?

    Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Gasing, setakat ini tiada data khusus yang direkodkan berhubung statistik bilangan pekerja tempatan yang bekerja di ladang di negeri Selangor. Kerajaan Negeri hanya merekod jumlah penerima manfaat setiap bantuan yang diberikan melalui penganjuran sesuatu program. Statistik  anak – anak pekerja ladang yang telah menerima bantuan kewangan di bawah program – program anjuran Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin sejak dari tahun 2015 sehingga 2019 adalah seramai 14,391 orang.

    Salah satu program ialah Program Pendidikan Anak – anak Pekerja Ladang yang dilaksanakan khusus untuk memberi bantuan kewangan dalam aspek kebajikan dan pendidikan. Skim ini terbuka kepada seluruh anak – anak pekerja ladang di negeri Selangor yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Program-program yang dianjurkan adalah khusus untuk menjaga kebajikan pekerja ladang dalam meringankan bebanan yang ditanggung dalam kehidupan seharian.

    Antara program – program yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

    Sumbangan Bantuan Subsidi Tambang Bus Sekolah

    Pemberian wang RM300.00 kepada setiap anak pekerja ladang yang layak mengikut kriteria permohonan bagi setiap tahun.

    Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/IPTS) di Malaysia

    Bantuan Yuran Pengajian maksima sebanyak RM5,000.00 setiap pelajar yang layak mengikut kriteria permohonan bagi satu jurusan bagi mengurangkan bebanan yuran pengajian anak – anak kepada ibu bapa.

    Program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR)

    Penyampaian anugerah adalah berdasarkan keputusan UPSR yang diperolehi oleh pelajar terbabit. Ia dilaksanakan sebagai penghargaan kepada anak – anak pekerja ladang yang telah berjaya dan secara tidak langsung kepada ibu bapa yang pekerja ladang.

    Program – program Motivasi UPSR untuk anak pekerja ladang

    Program ini dianjurkan adalah sebagai satu langkah Kerajaan Negeri dalam memastikan anak-anak di Negeri Selangor khususnya anak pekerja ladang mendapat pendidikan yang sempurna. Program berbentuk seminar ini dilaksanakan khusus untuk membantu anak pekerja ladang yang akan mengambil peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai persediaan sebelum menghadapi peperiksaan dan teknik menjawab peperiksaan.

    Program Pembangunan Sukan, Sains Inovatif dan Kebudayaan

    Pemberian sumbangan kepada pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) mengikut dua kategori iaitu penyertaan baharu dan mendapat tempat. Dilaksanakan bagi menghargai bakat dan semangat pelajar yang berjaya menempa nama di persada antarabangsa dalam bidang sains, sukan, inovatif dan kebudayaan.

    Program sebegini secara tidak langsung dapat meningkatkan mutu pendidikan anak pekerja ladang. Jumlah penerima manfaat Program Pendidikan Anak – anak Pekerja Ladang adalah seperti di Lampiran.

    Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin telah banyak membantu pekerja ladang dalam meringankan beban dalam arus pemodenan yang semakin berkembang pesat. Pembangunan ekonomi di kalangan pekerja ladang merupakan teras kepada kehidupan yang lebih selesa dan terjamin di masa hadapan. Justeru itu, program – program yang telah dilaksanakan memberi tumpuan kepada pekerja ladang di Negeri Selangor dalam meningkatkan pendapatan sampingan mereka menerusi penganjuran program – program berbentuk kursus kemahiran jangka pendek seperti membuat kek dan coklat, kelas jahitan, kelas solekan, membaiki peralatan, membuat kraftangan serta ceramah dan taklimat yang membantu meningkatkan keyakinan dan semangat di kalangan pekerja ladang untuk terus maju dan berdaya saing. Program – program kemahiran seperti ini dilihat sedikit sebanyak dapat membantu para pekerja ladang mendalami asas – asas kemahiran ilmu yang boleh menjana pendapatan sampingan.

    Kesimpulannya, Kerajaan Negeri Selangor telah banyak membantu para pekerja ladang di negeri ini bukan hanya dengan memberi bantuan kewangan semata – mata, malah golongan ini turut dibantu dari pelbagai sudut yang memberi manfaat dalam jangka masa panjang.

Lampiran

Tiada Lampiran.