Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

66) STATISTIK JENAYAH SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah kadar jenayah di Selangor sejak Januari 2021? Nyatakan jenis jenayah yang paling kerap berlaku.

    STATISTIK JENAYAH INDEKS BAGI TEMPOH JANUARI – JULAI 2020 / 2021 KONTINJEN SELANGOR

    Kajian statistik jenayah indeks bagi tempoh Januari-Julai tahun 2021 berbanding tahun 2020 telah menunjukkan penurunan sebanyak 295 kes atau -3.24%. Bagi tempoh Januari-Julai 2021 telah mencatatkan sebanyak 8,824 kes berbanding tempoh yang sama tahun 2020 sebanyak 9,119 kes.

    Bagi Jenayah Kekerasan sebanyak 2,296 kes dicatatkan pada tahun 2021 berbanding tahun 2020 sebanyak 2,078 kes telah dicatatkan yang telah menunjukkan peningkatan kes sebanyak 218 kes atau 10.49% bagi tempoh kajian Januari-Julai.

    Bagi Jenayah Harta Benda telah mencatatkan penurunan iaitu sebanyak 513 kes atau -7.29% di mana sebanyak 7,041 kes telah dicatatkan pada Januari-Julai tahun 2020 berbanding tempoh yang sama tahun 2021 iaitu sebanyak 6,528 kes.

    Dalam tempoh kajian kes jenayah paling kerap berlaku dalam kategori Jenayah Kekerasan adalah kes Bunuh, Rogol dan Mendatangkan Cedera. Kes Bunuh telah mencatatkan sebanyak 43 kes berbanding tahun sebelumnya sebanyak 42 kes. Bagi kes rogol pula pada tahun 2021 telah mencatatkan sebanyak 186 kes berbanding tahun 2020 sebanyak 180 kes. Kes mendatangkan cedera pula telah mencatatkan sebanyak 609 kes bagi tahun 2021 berbanding tahun 2020 mencatatkan sebanyak 517 kes.

    Bagi kategori Jenayah Harta Benda kes yang kerap berlaku adalah kes Lain-Lain Curi dan Pecah Rumah Curi di mana kes Lain-lain Curi mencatatkan sebanyak 1,729 kes pada tahun 2020 berbanding tempoh yang sama tahun 2021 sebanyak 2,615 kes manakala kes Pecah Rumah Curi mencatatkan sebanyak 1,600 kes bagi tempoh kajian Januari-Julai 2021 berbanding tempoh yang sama tahun 2020 sebanyak 1,574 kes dicatatkan.

  2. Apakah rancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk menangani isu ini?

    Kerajaan Negeri telah memasang sebanyak 414 unit CCTV di seluruh Negeri Selangor di mana pencahayaan tambahan juga telah dipasang oleh setiap PBT di kawasan CCTV tersebut.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah mengambil langkah awal ke arah Perbandaran Selamat seperti berikut:-

    1) Menubuhkan Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) di setiap PBT bagi memberi bantuan awal ketika berlakunya kecemasan antaranya banjir kilat, kebakaran dan kemalangan. Selain itu, pasukan ini juga telah diberikan latihan khas secara ‘Smart Partnership’ dengan pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi penganjuran latihan dan kursus secara berterusan (on-going);

    2) Melaksanakan Skim Rondaan Keselamatan Dan Kejiranan Pangsapuri Negeri Selangor (SEROJA) melalui penyelarasan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS) kepada komuniti di pangsapuri-pangsapuri terpilih sebagai perintis. Selain itu, PBT telah menyediakan bantuan peralatan rondaan seperti rotan, wisel dan lampu suluh;

    3) Melaksanakan NKRA: Bandar Selamat di setiap PBT dengan kerjasama pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) seperti yang telah digariskan oleh Majlis Negara untuk Kerajaan Tempatan pada Oktober 2004; dan

    4) PBT juga bekerjasama dengan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi memperluaskan pergerakan kawalan keselamatan contohnya memberi bantuan keanggotaan di dalam membuat rondaan keselamatan dan pencegahan jenayah terutamanya di kawasan hotspot kadar jenayah yang tinggi oleh pihak PDRM.

  3. Apakah status terkini dalam usaha CCTV Kerajaan Negeri untuk membasmi kegiatan jenayah? Berapa CCTV yang telah dipasang pada tahun 2020 dan 2021?

    Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan sejahtera kepada penduduk Negeri Selangor selaras dengan visi Smart Selangor ke arah Negeri Pintar Berdayahuni menjelang tahun 2025.

     

    Tanggungjawab untuk memastikan tahap keselamatan awam terletak pada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Kerajaan Persekutuan. Namun, Kerajaan Negeri juga telah mengambil langkah proaktif bagi membantu pihak PDRM dan juga penguatkuasaan di peringkat PBT menigkatkan kecekapan pemantauan tempat-tempat awam menerusi pembangunan inisiatif Kamera Litar Tertutup Beranalitik (“CCTV”) di bawah program Smart Selangor yang dilaksanakan oleh Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

     

    Inisiatif ini mensasarkan pembangunan dan pengoperasian sejumlah 200 unit CCTV pada akhir 2021 yang akan diupayakan dengan sistem pemantauan berdasarkan ‘event analytics’ yang akan digunapakai di kawasan awam di PBT. Ini akan memastikan pengoperasian CCTV yang berterusan berdasarkan artificial intelligence untuk tujuan pengecaman ataupun pemantauan khusus dapat dilakukan secara berterusan.

     

    CCTV ini akan dihubungkan kepada Smart Selangor C5i Operations Centre (SSOC), PDRM dan juga penguatkuasaan di PBT. Sebanyak 69 unit awal CCTV ini telah pun dipasang dilapangan pada tahun 2020 dan sejumlah 200 unit akan diupayakan pada akhir 2021 di beberapa PBT terpilih. Jumlah CCTV yang lebih tinggi dijangka akan dapat dicapai pada masa hadapan dengan penglibatan lebih banyak PBT dan agensi setelah penilaian keberkesanan dan pengoperasian 200 unit awal CCTV ini dibuat pada tahun 2022, kerana ianya juga akan tertakluk kepada keberkesanan penyelarasan operasi di antara agensi negeri dan persekutuan yang berkaitan.

     

    Sumber Maklumbalas Pertanyaan: SSDU

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.