Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

22) STATISTIK DENGGI

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Halimey Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Statistik Denggi semakin meningkat. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh pihak negeri untuk menangani isu kesihatan ini?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan No. 133 daripada Yang Berhormat N48 Sentosa, soalan No. 142 daripada Yang Berhormat N39 Kota Damansara dan soalan No. 273 daripada Yang Berhormat N31 Subang Jaya yang bertanyakan tentang langkah-langkah pencegahan dan kawalan denggi serta pelan tindakan negeri bagi menangani isu ini.

    Negeri Selangor sering merekodkan kes demam denggi tertinggi di Malaysia dan situasi ini sangat membimbangkan. Antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ini adalah seperti tahap kebersihan persekitaran lorong belakang rumah, kebun haram, rumah kosong dan tanah-tanah kosong di samping sikap masyarakat itu sendiri yang kurang mengambil berat akan bahaya nya akibat demam denggi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat semua, bagi minggu epidemiologi (ME) 9 iaitu bagi tempoh 26 Februari 2023 hingga 4 Mac 2023, sejumlah 1,002 kes demam denggi telah dilaporkan di Negeri Selangor, iaitu penurunan sebanyak 11.0% (124 kes) berbanding 1,126 kes pada minggu sebelumnya. Walau bagaimanapun, sejumlah 10,128 kes demam denggi dilaporkan sehingga ME 9 yang berakhir pada 4 Mac 2023 iaitu peningkatan sebanyak 140.5% (5,917 kes) berbanding minggu yang sama tahun 2022 (4,211 kes), dengan 2 kes kematian dilaporkan dalam tempoh ini berbanding tiada kes kematian pada tempoh yang sama tahun lepas.

    Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi dan jabatan berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan badan sukarelawan kesihatan seperti Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA), Communication for Behavioural Impact (COMBI), Komuniti Sihat Pembina Negara dan Team Selangor melaksanakan aktiviti pencegahan dan pengawalan demam denggi. Bermula pada tahun 2023, Operasi Bersepadu Denggi Negeri Selangor (OBDS) melibatkan agensi di atas telah dilaksanakan bermula pada 20 Februari 2023 sehingga 23 Mac 2023 di empat daerah yang mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi iaitu Petaling, Klang, Hulu Selangor dan Hulu Langat.

    Melalui OBDS, semua agensi akan berganding bahu melaksanakan aktiviti pencegahan seperti Pemusnahan Tempat Pembiakan (PTP), program gotong-royong dan juga aktiviti advokasi bersama komuniti setempat melalui pemberian risalah dan repellent. Selain daripada program OBDS, Kerajaan Negeri serta agensi berkaitan juga turut melaksanakan program pencegahan dan pengawalan denggi yang lain seperti berikut:

    • Membincangkan isu denggi di peringkat daerah secara terperinci untuk tindakan pihak terlibat melalui Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dan turut dihadiri oleh semua agensi terlibat seperti Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pihak Berkuasa Tempatan, Ahli Majlis dan sebagainya;
    • Membincangkan isu serta punca pembiakan denggi di lokasi terlibat bersama penduduk / ahli majlis / DUN agar dapat diambil tindakan bersama;
    • Menggiatkan penggunaan repellant dan semburan aerosol dalam kalangan komuniti;
    • Meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap bahaya penyakit demam denggi dan mendapatkan rawatan awal dengan segera sekiranya mengalami tanda-tanda bahaya demam denggi terutamanya mereka yang tinggal di kawasan lokaliti wabak denggi. Kesedaran ini dihebahkan melalui promosi kesihatan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dengan membuka kiosk kesihatan di tempat-tempat berisiko, edaran risalah kesihatan, edaran abate, hebahan suara, penggantungan kain rentang di kawasan lokaliti wabak dan juga melalui media sosial;
    • Memperkasakan peranan penduduk / agensi terlibat melalui penubuhan pasukan Communication for Behavioural Impact (COMBI) dan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) bagi melaksana aktiviti pencegahan denggi (pemusnahan tempat pembiakan denggi serta pendidikan kesihatan denggi) di lokaliti berkenaan;
    • Penggunaan ubat racun Bacillus Thuringiensis Israelensis (BTI) kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menghapuskan pembiakan nyamuk aedes. Penggunaan ubat racun ini juga akan dipantau secara berkala oleh PKD berkaitan;
    • Menjalankan Program Selangor Bebas Aedes Di Tempat Kerja dan Kuarters;
    • Mengukuhkan Program Bebas Denggi Sekolah; dan

    Aktiviti penguatkuasaan melalui Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975. Melalui Akta ini, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan terhadap individu atau pemilik premis yang berpotensi menjadi punca pembiakan aedes melalui pengeluaran notis di bawah Seksyen 8. Melaluinya, tindakan tawaran kompaun atau melalui arahan penutupan premis akan di ambil. Jika terdapat kegagalan mematuhi Notis Seksyen 8 atau tidak membayar kompaun, tindakan mahkamah akan dilaksanakan.

    Yang Berhormat N39 Kota Damansara juga ada bertanyakan berkenaan adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk memberikan vaksin (jika ada) untuk denggi ini. Untuk makluman Yang Berhormat, setakat ini tiada vaksin berkaitan denggi yang telah berdaftar untuk penggunaan di negara kita Malaysia. Pada masa kini vaksin Qdenga (TAK-003) dari Takeda di dalam proses permohonan kelulusan daripada National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) Malaysia.

Lampiran

Tiada Lampiran.