Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

124) START-UPS UNTUK TUJUAN INCUBATION

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimana Kerajaan Negeri membantu Start-Ups untuk tujuan "incubation" dan apakah jenis syarikat Start-Up yang Kerajaan Negeri bersedia membantu ?

    Kerajaan Negeri menerusi Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec) telah melaksanakan beberapa program yang khusus untuk memperkasakan komuniti syarikat startup tempatan seperti Selangor Accelerator Programme (SAP) dan Selangor Xccelerator Programme (ECX).

    Kedua-dua program ini telah dibangunkan dengan tujuan untuk memupuk usahawan dari syarikat pemula (startup) untuk berdaya maju dan mampu membangunkan produk dan perkhidmatan yang sedia untuk dipasarkan.

    Program Selangor Accelerator memberi pengkhususan terhadap syarikat pemula berasaskan teknologi dan sustainability. Sehingga kohort keenam program SAP, 190 syarikat startup telah dipupuk dari tahun 2018 hingga 2023. Daripada jumlah tersebut, 52 syarikat telah menerima pelaburan awal sama ada melalui geran, dana modal teroka atau dana khalayak berekuiti (equity crowdfunding). Secara purata, syarikat-syarikat ini berpendapatan antara RM1 juta atau RM2 juta setahun dan mengambil pekerja sehingga 10 hingga 20 orang.

    Sementara itu, program ECX yang baru dilancarkan pada 2023 memberi tumpuan kepada usahawan-usahawan baru dalam sektor Makanan dan Minuman (F&B), Peralatan Rumah, Fesyen & Gaya Hidup, Kesihatan, Kecantikan & Kesihatan dan Pendidikan.

     

    Kedua-dua program pemecut yang dijalankan Sidec telah menyaksikan sambutan yang cukup baik dan 30 syarikat dari program ECX dan 40 syarikat dari SAP telah mendapat latihan komprehensif dan berpeluang untuk membuat pembentangan di hadapan syarikat modal teroka dan mengikuti Misi Luar Negara di China dan Taipei, yang mana syarikat-syarikat tempatan ini diberi peluang untuk membina rangkaian dan menerokai pasaran luar negara.

     

     

    Beberapa pengisian dalam program-program ini adalah:

    1. Bimbangan (Mentorship): Peserta program akan diberi akses kepada rangkaian mentor yang berpengalaman dalam pelbagai bidang perniagaan. Mentor-mentor ini membantu peserta dalam merancang strategi perniagaan, memperluas rangkaian mereka, dan mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi.

    2. Kursus dan Bengkel: Program ini menyediakan kursus dan bengkel keusahawanan yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran perniagaan peserta, termasuk pemasaran, pengurusan kewangan, dan pembangunan produk.

    3. Akses kepada Modal: Selangor Accelerator Program juga memberi akses kepada sumber kewangan seperti pinjaman,pelaburan modal ventura, atau geran bagi membantu peserta membiayai dan mengembangkan perniagaan mereka. . Infrastruktur dan Sokongan Teknologi: Peserta program

    4.  Infrastruktur dan Sokongan Teknologi: Peserta program boleh mendapat akses kepada infrastruktur perniagaan seperti ruang kerja bersama, peralatan, dan teknologi yang diperlukan untuk mengembangkan produk atau perkhidmatan mereka.

    5. Rangkaian dan Hubungan Industri: Program ini membolehkan peserta menjalinkan hubungan dengan pelbagai pihak termasuk syarikat besar, pelabur, dan pemegang kepentingan lain dalam industri tertentu, membuka peluang kolaborasi dan pertumbuhan perniagaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.