Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

284) STADIUM SHAH ALAM

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan status terkini keadaan Stadium Shah Alam dan apakah perancangan Kerajaan Negeri di kawasan tersebut.

    Status terkini

    Stadium Shah Alam pada masa ini masih lagi diselenggara secara berkala bagi memastikan ia masih boleh digunakan, kerana terdapat premis pejabat dan beberapa penyewa premis di sekitar stadium. Ia juga masih aktif digunakan bagi ruang acara besar seperti Tapak Bazarena, Bazar Ramadan dan Tapak Karnival.

    Kerosakan Jangka Panjang

    Walaubagaimana pun, stadium tidak dapat digunakan untuk acara bola sepak atas sebab-sebab keselamatan, kefungsian dan keselesaan pengunjung. Ini adalah disebabkan kerosakan jangka panjang sebahagian kemudahan stadium seperti kerosakan bumbung, water proofing dan sistem bekalan elektrik (kurang efisien) yang sudah berusia hampir 28 tahun.

    Kerosakan akibat banjir Disember 2021

    Selain itu, terdapat juga kerosakan akibat banjir besar pada 18 Disember 2021. Bencana tersebut telah mengakibatkan kerosakan teruk pada sistem bekalan elektrik, sistem bekalan air/pam, bilik-bilik urus setia perlawanan, bilik persalinan pemain, padang. trek dan lain-lain peralatan stadium.

    Kerosakan akibat banjir tersebut menyebabkan kerugian sekitar RM3 Juta hingga RM5 Juta. Kejadian ini merupakan bencana banjir besar yang kali kedua berlaku di Stadium Shah Alam, di mana kali pertama ia berlaku pada tahun 2006.

    Pembersihan dan pembaikan kecil pasca banjir telah pun dilaksanakan bagi membolehkan bangunan stadium beroperasi seperti biasa dalam keadaan baik.

    Risiko banjir

    Kerja membaik pulih Stadium Shah Alam perlu mengambil kira berkenaan risiko banjir yang kerap kali berlaku. Ini kerana, kedudukan Shah Alam aras 0 (aras padang) adalah kawasan rendah yang mudah dinaiki air. Selain itu, bentuk muka bumi dan kedudukannya yang berdekatan dengan Sg. Damansara menyebabkan sebahagian lokaliti Shah Alam terutamanya di Seksyen 13 sering mengalami bencana banjir. Jika baik pulih Stadium Shah Alam ingin dijalankan, Kerajaan Negeri perlu mengkaji bentuk pengubahsuaian yang dapat mengelakkan kerosakan akibat banjir terhadap fasiliti di Aras 0 seperti padang, sistem bekalan elektrik, sistem pam/saliran, bilik-bilik urus setia perlawanan, bilik persalinan pemain dan lain-lain peralatan elektrik/audio/telekomunikasi.

  2. Nyatakan kos perbelanjaan yang telah dikeluarkan untuk kerja baik pulih Stadium Shah Alam secara terperinci pada tahun 2013 dan 2014.

    Kos Penyelenggaraan

    Purata kos penyelenggaraan, baikpulih dan operasi Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) adalah RM4 Juta setahun yang disalurkan dalam bentuk geran kepada pengurusan fasiliti terlibat. DEFM menguruskan KSSA sepanjang 2018 hingga 2022. Bermakna kerajaan telah berbelanja RM56 Juta sejak tahun 2008 hingga 2022. Kerajaan Negeri juga terpaksa membayar tuntutan saman NAZA TTDI pada tahun 2020 bernilai RM40 Juta terhadap Kerajaan Negeri disebabkan perjanjian “land swap” yang tidak setera nilai semasa pembinaan pada tahun 1994 di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

    2013 – 2017

    Terdapat beberapa siri proses baikpulih besar yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk Stadium Shah Alam. Dalam tempoh 2015 hingga 2017, sekitar RM11.745 Juta telah dibelanjakan bagi menaiktaraf kemudahan tandas, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), pembaikan bumbung stadium, naiktaraf kemudahan/bilik korporat VIP/VVIP dan naiktaraf lampu limpah padang. Kos ini tidak termasuk penyelenggaraan berkala dan pembaikan kecil sepanjang tempoh tersebut.

    2018 – 2022

    Sepanjang tempoh 2018 hingga 2022, sebanyak RM2.2 Juta telah dibelanjakan untuk membaikpulih beberapa kemudahan seperti mengecat pagar stadium, pembersihan beam, naiktaraf tandas dan bumbung. Sebanyak RM5.22 Juta juga telah dibelanjakan bagi penyelenggaraan lif, penyelenggaraan padang dan kerja-kerja elektrik serta sivil sepanjang tempoh tersebut.

    Peruntukan geran Kerajaan Negeri juga digunakan untuk kerja-kerja naiktaraf, penyelenggaraan dan baikpulih kemudahan-kemudahan lain dalam Kompleks Sukan Shah Alam seperti Stadium Malawati, Stadium Mini, Pusat Akuatik, Lapangan Boling Padang dan Taman Sukan Lasak Seksyen 13.

Lampiran

Tiada Lampiran.