Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
278) STADIUM SHAH ALAM
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perkembangan fizikal yang berlaku setakat ini di Kompleks Sukan Shah Alam?
Status terkini
Stadium Shah Alam pada masa ini masih lagi diselenggara secara berkala bagi memastikan ia masih boleh digunakan, kerana terdapat premis pejabat dan beberapa penyewa premis di sekitar stadium. Ia juga masih aktif digunakan bagi ruang acara besar seperti Tapak Bazarena, Bazar Ramadan dan Tapak Karnival.
Kerosakan Jangka Panjang
Walaubagaimana pun, stadium tidak dapat digunakan untuk acara bola sepak atas sebab-sebab keselamatan, kefungsian dan keselesaan pengunjung. Ini adalah disebabkan kerosakan jangka panjang sebahagian kemudahan stadium seperti kerosakan bumbung, water proofing dan sistem bekalan elektrik (kurang efisien) yang sudah berusia hampir 28 tahun.
Kerosakan akibat banjir Disember 2021
Selain itu, terdapat juga kerosakan akibat banjir besar pada 18 Disember 2021. Bencana tersebut telah mengakibatkan kerosakan teruk pada sistem bekalan elektrik, sistem bekalan air/pam, bilik-bilik urus setia perlawanan, bilik persalinan pemain, padang. trek dan lain-lain peralatan stadium.
Kerosakan akibat banjir tersebut menyebabkan kerugian sekitar RM3 Juta hingga RM5 Juta. Kejadian ini merupakan bencana banjir besar yang kali kedua berlaku di Stadium Shah Alam, di mana kali pertama ia berlaku pada tahun 2006.
Pembersihan dan pembaikan kecil pasca banjir telah pun dilaksanakan bagi membolehkan bangunan stadium beroperasi seperti biasa dalam keadaan baik.
Risiko banjir
Kerja membaik pulih Stadium Shah Alam perlu mengambil kira berkenaan risiko banjir yang kerap kali berlaku. Ini kerana, kedudukan Shah Alam aras 0 (aras padang) adalah kawasan rendah yang mudah dinaiki air. Selain itu, bentuk muka bumi dan kedudukannya yang berdekatan dengan Sg. Damansara menyebabkan sebahagian lokaliti Shah Alam terutamanya di Seksyen 13 sering mengalami bencana banjir. Jika baik pulih Stadium Shah Alam ingin dijalankan, Kerajaan Negeri perlu mengkaji bentuk pengubahsuaian yang dapat mengelakkan kerosakan akibat banjir terhadap fasiliti di Aras 0 seperti padang, sistem bekalan elektrik, sistem pam/saliran, bilik-bilik urus setia perlawanan, bilik persalinan pemain dan lain-lain peralatan elektrik/audio/telekomunikasi.
-
Bilakah dianggarkan Stadium kebanggaan rakyat Selangor ini dapat kembali digunapakai?
Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA)
Pada 15 Julai 2022, Dato’ Seri Menteri Besar Selangor telah mengumumkan garis masa rancangan pembangunan KSSA. Bentuk pembangunan akan dibentangkan pada September 2022 setelah perbincangan dengan semua pemegang taruh yang berkaitan selesai antaranya, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), MBSA, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Selangor FC, DEFM dan Kerajaan Negeri sendiri. Pada peringkat ini, input dari setiap pemegang taruh akan dijadikan komponen kepada pembangunan KSSA bagi memastikan projek ini dapat memberi manfaat kepada pembangunan sukan Selangor, bola sepak Selangor dan komuniti.
Projek pembangunan dijangka akan bermula pada suku pertama 2023 dan siap sepenuhnya pada tahun 2026. Ini bermakna rakyat Selangor akan mendapat kemudahan Kompleks Sukan Shah Alam yang baru menjelang 2026.