Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

182) SPONGE CITY

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri Selangor bercadang untuk mengadaptasi konsep Sponge City bagi menangani masalah banjir kilat dan pencemaran air? Jika ya, apakah langkah-langkah awal yang telah dirancang?

    Konsep Sponge City dan prinsip Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) mempunyai matlamat yang selari, iaitu mengurus air hujan secara mampan untuk mengurangkan kesan banjir serta mengekalkan kualiti air. Oleh itu, MSMA boleh dianggap sebagai asas teknikal dalam pelaksanaan Sponge City, kerana prinsip yang diterapkan dalam MSMA sejajar dengan strategi pengurusan air dalam Sponge City. Salah satu prinsip utama dalam MSMA ialah mengawal dan menyimpan aliran air permukaan sebelum dilepaskan ke sistem saliran utama.

    Di dalam konteks pembangunan tanah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor telah mengambil langkah-langkah awal dengan memastikan keperluan kolam takungan dan On-Site Detention (OSD) disediakan sebagai mekanisme utama untuk mengawal aliran air sebelum dilepaskan secara terkawal ke sistem saliran utama. Pendekatan ini juga diterapkan dalam konsep Sponge City, yang memastikan bandar mempunyai keupayaan menyimpan lebihan air hujan untuk mengurangkan risiko banjir.

    Dari sudut peningkatan kualiti air hujan, terdapat pelbagai pendekatan yang ditekankan di dalam MSMA. Antaranya ialah penggunaan zon penapisan seperti wetlands, swales, sediment/ silt basin dan sebagainya. Pendekatan ini membantu menyingkirkan kelodak serta bahan pencemar sebelum air dilepaskan ke sistem saliran utama. Konsep Sponge City juga menggunakan prinsip yang sama dengan membangunkan infrastruktur hijau yang menapis air secara semula jadi bagi memastikan kualiti air terjaga.

    Selain itu, JPS dalam perancangan untuk menyediakan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir yang merangkumi cadangan konsep pembinaan terowong banjir bawah tanah (underground tunnel).

Lampiran

Tiada Lampiran.