Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

15) SOP TINDAKAN PENGUATKUASAAN SAMPAH HARAM

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bolehkah Kerajaan Negeri menerangkan SOP arahan PTGS bil.1/2019 yang baru diperkenalkan bagi mengekang aktiviti tapak pelupusan sampah haram?

    Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) telah mengeluarkan Arahan Pengarah Tanah Dan Galian Selangor Bil. 1/2019 berkenaan Standard Operating Procedure (SOP) Tindakan Penguatkuasaan Secara Bersepadu Bagi Menangani Tapak Pelupusan dan Pembuangan Sampah Haram Di Negeri Selangor.

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 40/2017 bertarikh 13 Disember 2017 dan disahkan oleh MMKN ke 1/2018 telah mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan tegas terhadap aduan-aduan daripada penduduk tempatan berkaitan kacau ganggu yang ditimbulkan oleh pemilik premis.

    SOP ini juga telah menggariskan tatacara untuk digunapakai oleh setiap PDT dan PBT untuk menjalankan tindakan penguatkuasaan mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

    Bagi pihak PDT, terdapat empat (4) seksyen di dalam Kanun Tanah Negara (KTN) yang memperuntukkan kuasa bagi menjalankan tindakan penguatkuasaan. Yang pertama sekali adalah tindakan di bawah seksyen 127 KTN. Tindakan yang perlu dijalankan di bawah seksyen ini adalah Pentadbir Tanah hendaklah menjalankan rondaan berdasarkan aduan yang diterima serta menyediakan data bancian. Seterusnya Pentadbir Tanah menjalankan siasatan lanjut dan sekiranya terdapat kebarangkalian berlakunya perlanggaran syarat, Notis dalam Borang 7E iaitu Notis Supaya Menunjukkan Sebab Mengenai Pengenaan Denda hendaklah disampaikan kepada Pemilik Berdaftar Tanah.

    Kegagalan Pemilik Berdaftar Tanah untuk memberikan tunjuk sebab yang memuaskan, Pentadbir Tanah bolehlah mengeluarkan perintah bayaran denda tidak kurang daripada Ringgit Malaysia Lima Ratus (RM500.00) kepada pemilik berdaftar tanah/premis.

    Seksyen 128 KTN memperuntukkan kuasa kepada Pentadbir Tanah untuk menjalankan pemantauan berdasarkan aduan yang diterima dan seterusnya Pentadbir Tanah hendaklah menyemak sama ada tanah yang diadu tersebut diberimilik sebelum atau selepas wujudnya KTN.

    Sekiranya pemberimilikan selepas wujudnya KTN, Pentadbir Tanah hendaklah menyerahkan Notis dalam Borang 7A (Notis Untuk Memulih Pelanggaran Syarat) kepada pemilik berdaftar tanah dengan mengambil kira kewajaran bagi pemilik berdaftar tanah untuk memulihkan tanahnya. Maksimum tempoh masa adalah selama 90 hari. Jika notis ini tidak dipatuhi maka Pentadbir Tanah hendaklah mengambil tindakan di bawah seksyen 129 KTN.

    Manakala bagi tanah-tanah yang diberimilik sebelum KTN adalah tertakluk kepada seksyen 53 KTN iaitu penggunaan sebahagian tanah untuk aktiviti pertanian atau perindustrian atau bangunan adalah tidak melanggar syarat nyata tanah.

    Seksyen 129 KTN memperuntukkan kuasa kepada Pentadbir Tanah untuk mengeluarkan Notis dalam Borang 7B (Notis Supaya Menunjukkan Sebab) kepada pemilik berdaftar tanah. Pentadbir Tanah hendaklah memberikan suatu tempoh masa yang dianggap munasabah dengan mengambil kira luas tanah dan binaan struktur di atas tapak sebelum tindakan di bawah seksyen 130 KTN dilaksanakan.

    Seksyen 130 KTN memperuntukkan kuasa kepada Pentadbir Tanah untuk menyiarkan dalam Warta pemberitahuan berkenaan pelucuthakan dalam Borang 8A (Notis Perkembalian Tanah Kepada Kerajaan). Mana-mana tanah yang telah dirampas akibat pelanggaran syarat akan dilucuthak dan menjadi tanah Kerajaan di bawah seksyen 131 KTN.

  2. Berapakah jumlah pengusaha tapak pelupusan sampah haram yang telah diambil tindakan undang-undang?

    Jumlah tindakan Notis 7A dan 7B yang telah dikeluarkan daripada tahun 2016 – 2020 adalah sebanyak 82 dan 25 Notis manakala jumlah tindakan Notis 8A yang telah dikeluarkan adalah sejumlah sembilan (9) Notis.

Lampiran

Tiada Lampiran.