Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

188) SOKONGAN DAN PERLINDUNGAN WANITA DAN KANAK-KANAK

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Memandangkan kes keganasan rumahtangga semakin meningkat, adakah Kerajaan Negeri mampu menyediakan rumah perlindungan wanita dan kanak-kanak dengan kerjasama bersama hotel/motel di bawah Kerajaan Negeri Selangor?

    Untuk makluman Yang Berhormat Bandar Utama, antara inisiatif Kerajaan Negeri bagi membendung kes keganasan rumah tangga adalah menerusi Talian SELamat yang telah mula beroperasi pada 1 November 2021. Pihak Wanita Berdaya Selangor (WBS) telah bekerjasama dengan beberapa Agensi Kerajaan Negeri dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai first aid bagi memastikan masalah dan isu keganasan rumah tangga di Selangor dapat ditangani dengan sewajarnya. Terkini WBS juga sedang dalam perancangan untuk bekerjasama dengan agensi perhotelan sebagai sebahagian dari rakan kerjasama yang akan menyediakan tempat transit sementara kepada pemandiri memandangkan rumah perlindungan tertakluk kepada kelulusan Pengurusan dan Perlindungan Mangsa Keganasan Rumah Tangga adalah berdasarkan kepada Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (AKRT).

  2. Apakah jenis sokongan diberikan Kerajaan Negeri Selangor selepas mangsa berjaya keluar tetapi tiada sokongan ekonomi?

    Talian SELamat memberi sokongan kepada pemandiri melalui khidmat mendengar masalah, sesi kaunseling dan emosi yang dijalankan secara atas talian dan bersemuka mengikut kesesuaian kes dan keselesaan pemandiri.

    Bagi pemandiri yang berjaya keluar tetapi mempunyai kekangan kewangan, mereka boleh mendapatkan maklumat dan menyertai Bengkel Pembangunan Kapasiti dan Kemahiran di peringkat komuniti. Program-program ini diusahakan oleh Pusat Wanita Berdaya (PWB) di 56 kawasan DUN seluruh Selangor dan dikawal selia oleh Jabatan Pembangunan Program dan Advokasi (JPPA) WBS. Terdapat pelbagai program dan bengkel kemahiran yang ditawarkan sekaligus membantu memberi pendedahan kepada mangsa untuk menjana serta meningkatkan ekonomi agar dapat membebaskan diri dari belenggu kesempitan kewangan dan keganasan rumah tangga.

    Pemandiri yang sedang dalam proses penceraian dan belum mendapat perintah nafkah, Kerajaan Negeri menyediakan bantuan nafkah keluarga di bawah Program Bantuan Sokongan Keluarga yang diselaras oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS). Sekiranya pemandiri telah melalui fasa perceraian dan mempunyai anak di bawah 18 tahun, pemandiri boleh mendapatkan bantuan melalui kuota Ibu Tunggal di bawah Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

    Selain itu, Kerajaan Negeri turut mewujudkan inisiatif bagi meningkatkan sokongan ekonomi seperti bantuan mikro kredit Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) yang boleh dipanjangkan kepada pemandiri bagi memulakan dan meneruskan kehidupan.

Lampiran

Tiada Lampiran.