Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
37) SMART SELANGOR DELIVERY UNIT (SSDU)
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila beri maklumbalas terkini tentang program-program (CEPat, C5i, SSDP, ITMS, Parkir dan lain-lain) dibawah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan jumlah peruntukan yang dibelanjakan oleh unit ini.
Berikut adalah maklumbalas terkini program-program Smart Selangor:
- Citizen E-Payment (CEPat) merupakan aplikasi pembayaran elektronik berpusat untuk perkhidmatan berbayar kerajaan di Selangor seperti cukai taksiran, lesen, kompaun, sewaan dan sebagainya. Sehingga kini terdapat 62 perkhidmatan ditawarkan di dalam CEPat yang meliputi 11 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor dan 7 medium pembayaran tersedia untuk pilihan pengguna. Sehingga Oktober 2022, CEPat mempunyai hampir 90,000 pengguna berdaftar dan bilangan transaksi melebihi 1.9 juta transaksi. Aplikasi in dibangunkan menggunakan peruntukan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) sebanyak RM5.9 juta.
- C5i Smart Selangor Operation Centre (SSOC) terletak di Dewan Jubli Perak Bangunan SUK telah siap dibangunkan pada November 2020. SSOC mengupayakan peranan C5i iaitu Command, Control, Communication, Computerized, Colaboration and Intelligent untuk Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan penyelarasan berpusat berdasarkan data hampir masa nyata. SSOC dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti rang operasi yang berkapasiti 22 orang, bilik mesyuarat, rang media, rang rehat kakitangan, perkakasan dan peralatan seperti 45 unit panel paparan berserta 1 unit perisian kawalan paparan, kamera litar tertutup (CCTV), perkhidmatan internet berkelajuan tinggi (Gigabit), dan sebagainya. Selain itu, SSOC mempunyai keupayaan GenSet untuk menyokong pengoperasian SSOC sehingga 24 jam. Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) mengetuai pengoperasian di SSOC dan dibantu oleh SSDU..
Sehingga kini, SSOC telah dilawati oleh lebih daripada 10 entiti luar seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Malaysian Administrative Modernization and Management Planning Unit (MAMPU), Selangor Task Force (STFO), MBI Kedah, Plan Malaysia Neger Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor, PwC Malaysia, NEC Japan Ltd, Unit Pengurusan Bencana (UPB) Pulau Pinang, Invest Selangor Berhad, PDT Klang, PDT Petaling dan Smart Cities Alliance Association (MSCA). Kos pengubahsuaian dan naik taraf SSOC termasuk perkakasan dan peralatan adalah sebanyak RM6.3 juta, dibiayai oleh geran Kerajaan Negeri dan peruntukan kewangan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI)
- Intelligent Traffic Monitoring System (ITMS) merupakan satu projek rintis yang dijalankan untuk pemantauan trafik di Persiaran Kewajipan, USJ menerusi penggunaan CCTV, sambungan rangkaian telekomunikasi dan pembangunan analitik data raya. Pengumpulan data secara digital, pemantauan secara 24 jam dan analisis data dapat membantu pihak MBSJ untuk mengenalpasti dan merancang kaedah penyuraian trafik secara lebih berkesan berdasarkan fakta yang diperoleh. Pelaksanaan projek rintis ITMS ini telah menggunakan dana geran Kerajaan Negeri sebanyak RM1.3 juta.
- Smart Selangor Parking (SSP) merupakan aplikasi pembayaran parkir dan kompaun secara atas talian yang boleh digunakan merentasi 10 PBT di Selangor kecuali MPHS dan MDSB yang belum mengenakan caj parkir. Sehingga penghujung Oktober 2022, SP mempunyai lebih 2.4 juta bilangan pengguna. Manakala bilangan transaksi pada tahun ini sahaja telah melebihi 26,000 transaksi. Aplikasi ini juga boleh digunakan di tempat leak kereta dua (2) jam yang telah diperkenalkan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di lapan (8) lokasi tempat letak kereta terpilih bermula 1hb September 2022. Selain daripada itu, e-kupon juga boleh diperoleh menerusi SSP berkuatkuasa 1hb April 2022. Sehingga kini, terdapat sejumlah hampir 1.5 juta kilogram kertas dapat dijimatkan melalui penggunaan aplikasi SSP ini. Jumlah peruntukan untuk pembangunan SSP adalah sebanyak RM2.1 juta melalui geran Kerajaan Negeri Selangor.
- Selangor Intelligent Transport System (SITS) adalah sebuah aplikasi untuk membantu pengguna Bas Smart Selangor mengenal pasti senarai laluan bas, lokasi hentian bas dan jangkaan ketibaan bas secara hampir masa nyata. Selain itu, pengguna Bas Smart Selangor berupaya untuk melaporkan insiden pemanduan berbahaya oleh pemandu bas dan juga pelaporan sekiranya berlaku barangan milik peribadi pengguna yang tanpa disengajakan tertinggal di dalam Bas Smart Selangor. Sehingga kini, SITS telah pun mempunyai 50,000 pengguna aktif dengan bilangan muat turun sebanyak 200,000. Sebanyak RM1 juta daripada geran Kerajaan Negeri telah diguna untuk mengupayakan SITS.
- Intelligence Response Selangor (i-RS) merupakan sebuah sistem back-end yang dibangunkan untuk memproses semua pelaporan jalan berlubang oleh orang awam yang dilaporkan menerusi aplikasi Waze. Semenjak dibangunkan pada 2016, hampir 37,000 penampalan jalan berlubang telah diselesaikan yang melibatkan 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor, 9 JKR Daerah dan Ibu Pejabat Negeri Selangor dan 9 Pejabat Daerah Tanah Negeri Selangor. Selain daripada itu, kadar kecekapan PBT juga dapat dipantau dan berjaya mencapai kadar lebih daripada 90% bagi kecekapan menampal jalan berlubang milikan PBT dalam tempoh masa yang ditetapkan. i-RS telah dibangunkan menggunakan peruntukan geran Kerajaan Negeri sebanyak RM1.4 juta.
-
Apa peranan SSDU yang dimainkan dalam pengurusan bencana di Negeri Selangor?
Sewaktu berlakunya insiden banjir pada bulan Disember 2021, Smart Selangor Operations Centre (SSOC) telahpun beroperasi secara 24 jam bagi pengurusan insiden banjir. Pada ketika itu, beberapa entiti seperti UPBN, Bahagian Korporat Kerajaan Negeri, SSDU dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Selangor telahpun berkolaborasi secara aktif. SSDU telah mengambil bahagian secara aktif dengan memastikan kesemua 8 talian kecemasan dan perkakasan serta kemudahan ICT di SSOC berfungsi dengan baik untuk kelancaran pengurusan bencana, membantu UPBN dalam menjawab panggilan-panggilan daripada mangsa-mangsa banjir dan seterusnya merekodkan secara berpusat untuk tindakan selanjutnya oleh pihak-pihak berkaitan.