Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

64) SMART CITY HULU KELANG

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah asas-asas utama dan
    program-program yang akan
    dijalankan oleh MPAJ susulan
    ketetapan MPAJ untuk menjayakan
    Program Smart City yang dimulakan
    di DUN Hulu Kelang?

    Pelaksanaan inisiatif Bandar Pintar Ampang Jaya yang memilih Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang sebagai projek perintis adalah berdasarkan Kerangka Bandar Pintar Ampang Jaya. Kerangka Bandar Pintar Ampang Jaya menggariskan lima teras utama iaitu (1) Tadbir Urus Pintar; (2) Infrastruktur dan Teknologi Pintar; (3) Persekitaran Pintar; (4) Komuniti Pintar; dan (5) Ekonomi Pintar.

    MPAJ telah menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat Celcom Digi Berhad bagi memulakan inisiatif bandar pintar di kawasan DUN Hulu Kelang. Beberapa siri perbincangan dengan penduduk setempat, persatuan penduduk, persatuan peniaga, persatuan rekreasi dan institusi pendidikan telah diadakan bagi mendapatkan input pemegang taruh. Dapatan daripada pemegang taruh ini kemudiannya dibincangkan dalam bengkel pembangunan strategi dan program bandar pintar yang dihadiri oleh Jawatankuasa Bandar Pintar MPAJ dan wakil daripada Celcom Digi Berhad. Butiran terperinci pelaksanaan program akan dimaklumkan selepas MPAJ menandatangani dokumen MoU bersama pihak Celcom Digi Berhad.

    Inisiatif bandar pintar yang dilaksanakan oleh MPAJ adalah selari dengan inisiatif Smart Selangor 2025. MPAJ menyokong penuh usaha kerajaan negeri Selangor dalam membangunkan negeri pintar menjelang tahun 2025. Semua program yang dirancang dan dilaksanakan oleh MPAJ bertujuan untuk membantu usaha tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.