Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
96) SMALL OFFICE HOME OFFICE (SOHO)
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Edward Lee Poh Lin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Tidak wujudnya garis panduan untuk SOHO dalam negeri. Ini membenarkan untuk budi bicara rambang oleh pihak berkuasa tempatan dan bagi pegawai-pegawai mereka untuk mengenakan denda-denda dan penalti-penalti kepada pengendali-pengendali sebegini. Adakah pihak kerajaan negeri akan menggalakkan konsep baru sebegini yang menggalakkan terutamanya wanita-wanita dan suri rumah untuk beroperasi dari rumah mereka? Konsep baru ini juga akan mengurangkan trafik di jalan raya.
Seperti Yang Berhormat sedia maklum, ’Small Office Home Office (SOHO)’ merupakan konsep pembangunan yang melibatkan perkongsian ruang pejabat dan kediaman pada masa yang sama pada satu-satu unit. Kelebihan konsep SOHO membolehkan aktiviti perniagaan dijalankan dari rumah dengan menggunakan teknologi terkini tanpa memerlukan kos overhead dan pengendalian yang tinggi serta mampu memperolehi capaian pelanggan yang lebih besar.
Buat masa ini pembangunan konsep SOHO tidak termasuk dalam tafsiran pemajuan perumahan di bawah Seksyen 3 Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] kecuali dan sehingga ia diwartakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menurut peruntukan seksyen 3A Akta 118.
Untuk itu, Kerajaan Negeri tiada halangan untuk membenarkan pembangunan jenis SOHO ini dilaksanakan di Negeri Selangor dengan syarat pembangunan tersebut tertakluk kepada Akta 118 di bawah pengawasan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Oleh itu, satu perjanjian seragam khusus untuk pembangunan SOHO perlu dimasukkan dalam Akta seperti mana perjanjian bagi pembangunan jenis kediaman untuk membolehkan pihak Kementerian memantau pelaksanaan pembangunan tersebut dari segi dasar sehingga peringkat pengurusan bangunan.
-
Bagaimanakah pihak berkuasa tempatan akan berurusan dengan kes-kes SOHO yang tidak mempunyai lesen untuk beroperasi dan juga bagi mereka yang sedang beroperasi tetapi jiran-jiran mereka mengadu berdasarkan fakta bahawa hartanah-hartanah mereka adalah untuk kegunaan kediaman dan bukan untuk kegunaan komersial?
- Bagi tujuan pengawalan, Kerajaan Negeri telah menetapkan hanya bangunan yang mempunyai status syarat nyata tanah bangunan dan dikategorikan sebagai komersial seperti ‘Service Apartment’ sahaja yang dibenarkan untuk melaksanakan konsep pembangunan SOHO. Perumahan jenis berstrata dan bertanah (“Landed’) yang dikategorikan sebagai kediaman adalah tidak dibenarkan kecuali syarat nyata tanah telah ditukar kepada perniagaan.
Untuk mengelakkan berlakunya gangguan kepada jiran serta masalah di kemudian hari, Kerajaan Negeri telah menetapkan beberapa kriteria-kriteria tertentu yang perlu dipatuhi sebelum SOHO dibenarkan untuk dilaksanakan iaitu:
- Pemohon hendaklah mengekalkan sekurang-kurangnya 1/3 penggunaan premis sebagai kediaman. Pemohon juga perlu menghadkan ruang perniagaan di dalam kawasan premis sahaja.
- Perniagaan tersebut hendaklah tidak menyebabkan bunyi bising, pengeluaran asap, bau, pencemaran atau debu yang mungkin menyebabkan gangguan yang luar biasa bagi kawasan perumahan atau kediaman. Seperti contoh gangguan daripada penggunaan mesin dan peralatan perniagaan.
- Jenis perniagaan yang dijalankan hendaklah mematuhi segala undang-undang. Ianya juga mesti tidak menyebabkan gangguan perilaku yang tidak bermoral seperti perjudian atau perkhidmatan seksual.
- Perniagaan yang dijalankan tidak menyebabkan gangguan kemanusiaan atau gangguan lalulintas kepada kawasan kejiranan.
- Tidak dibenarkan menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan yang menyebabkan gangguan kediaman atau orang awam seperti mengedarkan risalah, iklan atau lawatan rumah ke rumah. Juga tidak dibenarkan menjalankan perniagaan yang melibatkan penjualan barang.
- Hanya papan tanda perniagaan sahaja yang dibenarkan dengan saiznya akan ditetapkan oleh PBT masing-masing. Saiz yang dibenarkan adalah tidak melebihi 92cm x 61cm.
- Premis hendaklah memastikan keperluan keselamatan dipatuhi dan perniagaan tersebut juga tidak mendatangkan bahaya kepada manusia dan kerosakan kepada bangunan atau premis.
- Penggunaan peralatan elektrik mestilah tidak melebihi keperluan penggunaan bangunan kediaman.
- Penyimpanan bahan kimia yang berbahaya adalah tidak dibenarkan.
- Aktiviti perniagaan yang memberi kesan kepada sifat-sifat, suasana dan juga persekitaran kediaman juga tidak dibenarkan.
- Sebarang jenis perniagaan hendaklah mematuhi undang-undang kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan dan kelulusan perniagaan hendaklah diperolehi sebelum memulakan perniagaan.
Dengan penyediaan Garis Panduan Perancangan Untuk Pembangunan SOHO di Negeri Selangor ini akan memudahkan Pihak Berkuasa Tempatan mengawal, menentukan lokasi peletakan pembangunan konsep SOHO dan tindakan penguatkuasaan supaya pelaksanaan Konsep SOHO mencapai matlamat asal konsep tersebut.