Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

238) SKIM SMART SEWA

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kerajaan bercadang untuk mengembangkan khidmat Skim Smart Sewa kepada pelajar universiti untuk menyewa pada kadar yang bersesuaian?

    Untuk makluman Yang Berhormat, objektif utama Skim Smart Sewa adalah bagi membantu golongan yang tidak memiliki kediaman dan sukar/gagal mendapatkan pinjaman perumahan supaya dapat menyewa kediaman Rumah Selangorku (RSKU) dengan kadar sewa yang berpatutan. Sehingga kini permohonan Skim Smart Sewa terbuka kepada Rakyat Selangor yang berusia 18 tahun ke atas dan berkeluarga atau mempunyai tanggungan serta mempunyai pendapatan. Penyewa juga bertanggungjawab untuk menjelaskan bil utiliti seperti elektrik dan air serta bayaran sewa bulanan secara konsisten kepada Anak Syarikat yang dilantik Kerajaan Negeri. Oleh demikian Kerajaan Negeri akan mengkaji semula cadangan Skim Smart Sewa ini untuk diperluaskan kepada golongan pelajar dengan mengambil kira faktor keselamatan, keselesaan dan kawalan kesesakan kepenghunian kediaman RSKU tersebut khususnya dikawasan bandar besar seperti Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya. Sebagai langkah permulaan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) sedang mengkaji kesesuaian untuk membeli unit-unit SOHO mampumilik untuk pelaksanaan tersebut.

  2. Berapakah bilangan penerima manfaat dari program Smart Sewa setakat ini?

    Untuk makluman Yang Berhormat, bilangan penerima manfaat dari program Smart Sewa setakat ini sebanyak 1,088 orang.

Lampiran

Tiada Lampiran.