Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

386) SKIM RUMAH MAMPU MILIK JENIS A BAWAH 100K

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai cadangan membina Skim Rumah Mampu Milik Jenis A bawah 100k di Sabak Bernam?

    Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga 31 Januari 2025, terdapat 6 projek dengan 266 unit Rumah Selangorku (RSKU) telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Sabak Bernam. Daripada jumlah tersebut, 2 projek dengan 95 unit telah siap dibina, 2 projek dengan 121 unit dalam pembinaan dan 2 projek dengan 50 unit dalam peringkat perancangan. Harga jualan bagi projek-projek ini adalah di antara julat harga RM150,000.00 – RM250,000.00 seunit.

    Di bawah program pemilikan Rumah Selangorku, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangorku (Rumah Selangorku 3.0) berkuat kuasa 03 Januari 2023.

    Melalui dasar tersebut, pihak pemaju/ pemilik tanah dikenakan syarat untuk membina Rumah Selangorku berdasarkan kepada keluasan pembangunan mengikut zon/ kawasan pembangunan. Kawasan Sabak Bernam terletak di dalam Zon 4 pembangunan, yang mana tapak pembangunan di bawah 10 ekar hingga 20 ekar dikenakan syarat 30% Rumah Selangorku, 20 ekar hingga 50 ekar 30% Rumah Selangorku dan 50 ekar ke atas 40% Rumah Selangorku.

    Harga jualan Rumah Selangorku 3.0 adalah bermula dari RM114,750.00 hingga RM250,000.00 seunit, dengan keluasan binaan dari 450 kaki persegi hingga 900 kaki persegi yang terdiri daripada jenis perumahan bertingkat dan bertanah.

    Oleh itu, sekiranya terdapat cadangan pembangunan perumahan yang dikemukakan oleh pihak pemaju/ pemilik tanah, adalah menjadi keutamaan/ tanggungjawab pihak LPHS untuk memastikan komposisi/ syarat pembangunan Rumah Selangorku tersebut dipatuhi berdasarkan kepada Dasar Rumah Selangorku 3.0. Ini bagi memastikan pembinaan Rumah Selangorku berada di pasaran sekaligus boleh ditawarkan kepada pembeli yang layak termasuk golongan B40.

     

  2. Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk rumah rakyat bagi anak muda yang bekerja di kampung dan tidak mempunyai slip gaji?

    Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga kini Kerajaan Negeri tidak mempunyai perancangan program khusus pemilikan perumahan rakyat bagi anak muda yang bekerja di kampung dan tidak mempunyai slip gaji. Ini kerana di bawah program pemilikan Rumah Selangorku (RSKU), sekiranya individu yang mempunyai kriteria syarat kelayakan bekerja sendiri atau tidak bekerja hanya perlu mengemukakan Surat Akuan Bersumpah daripada Pesuruhjaya Sumpah dan Penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terkini sebagai bukti tiada caruman untuk mengesahkan maklumat pekerjaan dan pendapatan pemohon tersebut untuk dipertimbangkan layak memiliki projek RSKU.

Lampiran

Tiada Lampiran.