Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009
124) SKIM PERUMAHAN RAKYAT YANG BERPENDAPATAN RENDAH
Tahun: 2009
Sesi: 3
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Yap Lum Chin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila jelaskan ke manakah arah tuju bantuan perumahan rakyat berpendapatan rendah di Negeri Selangor
Satu langkah penting bagi membantu golongan berpendapatan rendah menikmati taraf
hidup yang lebih selesa ialah dengan menyediakan perumahan mampu milik yang
mencukupi. Selaras dengan hasrat tersebut, Kerajaan Negeri akan mempergiatkan lagi
program pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana di Negeri Selangor sama
ada melalui anak syarikat Kerajaan Negeri atau pemaju swasta. Kerajaan Negeri
komited untuk memastikan pembinaan perumahan rakyat di Negeri Selangor terutama
rumah kos rendah dapat ditawarkan kepada golongan sasaran yang telah dikenal pasti
benar-benar layak ditawarkan rumah tersebut.
Kerajaan Negeri amat prihatin atas kesukaran golongan tertentu seperti setinggan yang
tidak mempunyai pendapatan tetap mendapatkan pinjaman bank untuk membiayai
pembelian rumah kos rendah. Ini termasuk mereka yang mempunyai keupayaan untuk
membayar balik pinjaman perumahan tetapi tidak dapat menyediakan bukti pendapatan
mereka mengikut keperluan bank. Kerajaan Negeri dari masa ke semasa akan terus
mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan bank-bank untuk membolehkan satu
skim khas khusus untuk golongan tersebut diwujudkan agar dapat memiliki rumah
kediaman sendiri. -
Berapakah jumlah rakyat yang memerlukan skim perumahan rakyat ini?
Berdasarkan statistik pendaftaran permohonan rumah kos rendah yang diselaraskan
oleh Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) sehingga 31 Oktober 2009
terdapat seramai 28,978 pemohon yang masih menunggu tawaran rumah kos rendah
atau skim perumahan rakyat. Bilangan pemohon yang masih menunggu tawaran rumah
kos rendah mengikut daerah adalah seperti berikut :-
Bil. Nama Daerah Bilangan Pemohon
Menunggu Tawaran
1. Petaling 11,501
2. Hulu Langat 5,640
3. Gombak 3,685
4. Klang 3,387
5. Kuala Selangor 1,231
6. Sepang 1,170
7. Kuala Langat 1,162
8. Sabak Bernam 991
9. Hulu Selangor 211
Jumlah Keseluruhan 28,978