Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

101) SKIM PEDULI SIHAT DAN KISS

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah kriteria penerima skim KISS terkini kerana ada yang sudah tidak layak masih menerima skim tersebut?

    Sebagai makluman Ahli Yang Berhormat, syarat kriteria Program Kasih Ibu Smart Selangor yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri adalah seperti berikut :-

    1. Warganegara Malaysia;
    2. Lahir di Selangor atau menetap di Selangor melebihi 10 tahun;
    3. Pemilih berdaftar di Selangor;
    4. Wanita berkeluarga (berkahwin atau ibu tunggal) yang mempunyai anak/ tanggungan di bawah 18 tahun;
    5. Berpendapatan isi rumah RM2,000.00 dan ke bawah sebulan; dan
    6. Berdaftar di dalam Sistem eKasih (kategori miskin dan miskin tegar) atau sebagai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

    Kita semua sedia maklum bahawa pemilihan dan pengesahan penerima bantuan Program KISS ini adalah di peringkat Ahli-Ahli Yang Berhormat di kawasan masing-masing. Setiap permohonan yang disahkan hendaklah dipastikan bahawa pemohon memenuhi syarat kriteria yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

    Sehubungan dengan itu, sekiranya Ahli-Ahli Yang Berhormat mendapati terdapat penerima Program KISS sudah tidak layak menerima manfaat tersebut, Ahli-Ahli Yang Berhormat melalui PKM masing-masing adalah disyorkan untuk menyenaraikan nama penerima berkenaan dan mengemukakan kepada Kerajaan Negeri supaya nama mereka dapat digugurkan dari terus menerima manfaat Program KISS.

  2. Bagi penerima skim Peduli Sihat yang dibatalkan, kemanakah baki yang masih tidak digunakan tersebut dimasukkan dan berapakah jumlahnya?

    Skim Peduli Sihat (SPS) telah merekodkan sejumlah 372,099 orang penerima sejak ianya diperkenalkan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri terpaksa melakukan proses penjajaran semula pada tahun 2019 di mana penetapan kuota bagi setiap DUN telah dilaksanakan dan syarat kriteria penerima manfaat juga telah ditukar daripada RM3,000.00 dan ke bawah kepada RM2,000.00 dan ke bawah.

    Berikutan proses penjajaran ini, seramai 293,055 peserta telah dikeluarkan daripada senarai penerima manfaat di mana, sejumlah 71,758 orang adalah dari kalangan kategori penerima yang layak (menepati syarat dan kriteria) tetapi terkeluar disebabkan kuota di DUN masing-masing telah penuh.

    Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian dari kalangan peserta yang layak tetapi terkeluar ini, telah pun dimasukkan semula ke dalam senarai penerima manfaat bagi tahun 2020, sementara bakinya pula dimasukkan dalam senarai menunggu bagi setiap DUN, di mana keutamaan disusun mengikut jumlah pendapatan terendah kepada jumlah pendapatan yang tertinggi (RM1 ke RM2,000).
    (Sumber maklumat dari Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan UPEN)

Lampiran

Tiada Lampiran.