Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

88) SKIM MIKROKREDIT

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status tahap pelaksanaan dan kejayaan skim-skim ini?

    Skim Mikrokredit Selangor (SKIMSEL) telah ditubuhkan pada bulan Ogos 2010 dan seterusnya dilancarkan pada 2 September 2010. Sehingga kini, SKIMSEL telah mempunyai sembilan (9) buah cawangan yang beroperasi di 9 daerah di negeri Selangor iaitu Cawangan Sabak Bernam, Cawangan Kuala Selangor, Cawangan Hulu Selangor, Cawangan Hulu Langat, Cawangan Kuala Langat, Cawangan Sepang, Cawangan Gombak, Cawangan Petaling dan Cawangan Klang. Semua pejabat cawangan beroperasi di Bangunan Pejabat dan Tanah Daerah masing-masing.

    Jumlah dana yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri kepada SKIMSEL adalah sejumlah RM50 juta. Sehingga 30hb April 2013, SKIMSEL telah menerima peruntukan dana sebanyak RM22.4 juta. Dengan dana yang ada SKIMSEL telah berjaya mengeluarkan pembiayaan mikrokredit dengan bilangan akaun pembiayaan sebanyak 16,099 berjumlah RM50,582,050.00 kepada 7,610 orang peserta atau sadiq.

    SKIMSEL sentiasa berusaha untuk mengekalkan kadar bayaran balik pembiayaan pada tahap 100 peratus (zero PAR) bagi operasi di semua cawangan. Sehingga kini, kadar bayaran balik SKIMSEL berada pada tahap 98.34 peratus.

    MIMBAR

    Program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) Selangor telah beroperasi selama dua (2) tahun sejak Mac 2011.  Bermula dari dua (2) program pilihan iaitu Program Mikrokredit dan Program Bantuan Niaga, MiMBAR Selangor telah mengembangkan lagi penawarannya dengan mewujudkan Program Bantuan Kerja.  Penyediaan program-program ini selaras dengan konsep “workfare” yang diketengahkan oleh kerajaan negeri dalam menjadikan masyarakat Selangor berdikari untuk berpendapatan.  Program Mikrokredit merupakan satu bantuan pinjaman berbentuk tunai di antara RM1,000 hingga RM5,000 bergantung kepada permintaan pemohon dan jenis perniagaannya.  Program Bantuan Niaga dan Bantuan Kerja pula menyediakan bantuan pinjaman perniagaan berbentuk peralatan, kiosk, mesin, produk dan ruang niaga.  Tempoh pembayaran semula pula telah dipanjangkan dari 12 bulan kepada 18 bulan dengan mengekalkan konsep pinjaman yang sama iaitu pinjaman tanpa caj faedah.

    Selain itu, MiMBAR Selangor melihat bahawa bimbingan dan latihan juga adalah penting bagi mendidik golongan peniaga di Selangor ini untuk terus berkembang ke tahap yang lebih baik dan lebih tinggi.  Justeru pelbagai latihan, kursus dan bengkel dijalankan sehingga kini.  Ianya meliputi bengkel pengurusan kewangan secara teori dan praktikal, pendedahan dan perkongsian maklumat melalui jabatan-jabatan kerajaan dan usahawan, tatacara berurusan dengan Pihak Berkuasa Tempatan, mengetahui hak-hak peniaga, proses pensijilan halal, dan perkongsian pengalaman serta cabaran di antara mereka sendiri.  Usaha ini adalah untuk menggalakkan mereka supaya terus berdaya saing dan meningkatkan jati diri agar lebih maju dan pada masa yang sama dapat memenuhi tuntutan global seperti produk halal, Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), kebersihan produk, dan mula merancang penubuhan syarikat ke arah syarikat sendirian berhad bukan sekadar perusahaan.

    1. i) Kejayaan MiMBAR Selangor

    Melalui maklumbalas yang dijalankan, MiMBAR Selangor telah berjaya mengenalpasti seramai 1,024 peserta program berjaya melepasi Paras Garis Kemiskinan (PGK) dan berada di tahap yang stabil.  Manakala seramai 712 orang peserta telah berjaya menamatkan pinjamannya tanpa mempunyai sebarang tunggakan bayaran sepanjang proses pinjaman dan sudah berada di tahap yang selesa yang tidak memerlukan pinjaman pusingan seterusnya sebagai modal tambahan.  Kebanyakan peserta yang begitu komited untuk memajukan perniagaan dirinya dilihat berubah kepada lebih selesa dan maju dengan tahap perniagaannya yang semakin berkembang.

    MiMBAR Selangor amat berharap dengan bantuan pinjaman berterusan ini dapat membantu sekumpulan kecil peserta yang begitu komited dan berusaha ke tahap yang lebih tinggi sebagai perantis industri kecil dan sederhana sehingga mereka tidak lagi memerlukan pinjaman kecil sebegini untuk menyara perbelanjaan perniagaan mereka

  2. Nyatakan statistik mereka yang telah menerima manfaatnya?

    SKIMSEL

    Berikut adalah maklumat berkaitan sadiq dan pengeluaran pembiayaan mengikut daerah atau cawangan SKIMSEL:

    CAWANGAN SADIQ BIL PEMBIAYAAN JUMLAH

    PEMBIAYAAN

    Sabak Bernam 1,144 3,093 9,871,100.00
    Hulu Selangor 1,059 2,297 7,880,800.00
    Kuala Selangor 1,223 2,368 6,754,850.00
    Hulu Langat 1,281 2,279 7,014,200.00
    Kuala Langat 1,159 2,338 7,846,500.00
    Sepang 832 1,981 6,053,500.00
    Gombak 187 302 874,000.00
    Petaling 357 827 2,558,500.00
    Klang 368 614 1,728,600.00
    SKIMSEL 7,610 16,099 50,582,050.00

    MIMBAR

    Sehingga Mei 2013, MiMBAR Selangor telah menyalurkan pinjaman kepada seramai 5,722 peniaga kecil di bandar-bandar di Selangor dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM11,426,400.00.  Jumlah ini menunjukkan mereka yang menerima bantuan pinjaman tambahan modal pusingan pertama.  Daripada jumlah tersebut, 153 daripadanya merupakan peserta yang telah menerima pinjaman tambahan pusingan kedua dengan jumlah sebanyak RM613,500.00. Mengikut pilihan program yang ditawarkan oleh MiMBAR Selangor, statistik menunjukkan 97% adalah mereka yang mengikut program mikrokredit sepenuhnya dan lain-lain mengikuti Program Bantuan Niaga dan Bantuan Kerja. Ini termasuk 125 peserta yang telah diluluskan pinjamannya melalui bantuan niaga kiosk mudah alih di seluruh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan 33 kumpulan peserta yang mengambil Pakej MiMBAR Kleaner iaitu pakej cucian permaidani.

    Statistik mengikut kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula menunjukkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) mencatatkan jumlah lingkungan peserta teramai iaitu sebanyak 25% dan diikuti dengan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebanyak 18%, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan 16%, Majlis Perbandaran Ampang Jaya sebanyak 11%, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Kajang dengan 10%, dan diikuti dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya sebanyak 6%.  Manakala lingkungan peserta yang terendah adalah dari kawasan Majlis Perbandaran Sepang iaitu sebanyak 3%.  Luar kawasan pula adalah sangat minima iaitu sekitar 1% sahaja.

    Mengikut jantina pula, statistik yang diperolehi menunjukkan peminjam dari golongan wanita lebih ramai dari kaum lelaki untuk pinjaman pusingan pertama dengan perolehan yang mencatatkan 63% adalah wanita mengatasi 37% lelaki. Golongan wanita teramai pula terdiri dari lingkungan umur 40 hingga 49 tahun dengan 38%, diikuti dengan 29% dari lingkungan umur 30 hingga 39 tahun, 21% bagi umur antara 50 hingga 59 tahun, 10% dari umur 20 hingga 29 tahun dan hanya 2 % golongan wanita berumur 60 tahun.  Bidang perniagaan mereka pula terdiri dari bidang niaga yang pelbagai sama ada makanan dan minuman, jahitan, pembuatan, kecantikan, peruncitan, kraftangan, pakaian, katering, barang kering, dan sejuk beku.

    Jumlah Peserta Dan Pembiayaan Keseluruhan Mengikut Program Ditawarkan

    PROGRAM KUANTITI (PESERTA) JUMLAH

    (RM)

    MIKROKREDIT 5,564 10,952,400
    BANTUAN NIAGA KIOSK AYAM RANGUP 12 36,000
    KIOSK ICE BLENDED 61 183,000
    KIOSK BURGER 52 156,000
    BANTUAN KERJA PMK 33 99,000
    JUMLAH KESELURUHAN PEMBIAYAAN 5,722 11,426,400.00
    JUMLAH PEMBIAYAAN PUSINGAN KEDUA 153 613,500.00

    Jumlah Peserta Dan Peratusan Mengikut Taburan Pihak Berkuasa Tempatan

    PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT) KUANTITI (PESERTA) PERATUS

    (%)

    MPK 1,417 25
    MPS 1,050 18
    MBPJ 899 16
    MPAJ 641 11
    MBSA 591 10
    MPKj 577 10
    MPSJ 353 6
    MPSp 157 3
    LUAR KAWASAN 37 1
    JUMLAH 5,722 100

    Jumlah Peserta Dan Peratusan Mengikut Jantina

    JANTINA KUANTITI (PESERTA) PERATUS

    (%)

    JUMLAH

    (RM)

    PEREMPUAN 3,588 63 7,074,900
    LELAKI 2,134 37 4,351,500
    JUMLAH 5,722 100 11,426,400

    Jumlah Peserta Dan Peratusan Mengikut Kumpulan Umur

    KUMPULAN  UMUR (TAHUN) KUANTITI (PESERTA) PERATUS

    (%)

    20-29 583 10
    30-39 1,665 29
    40-49 2,185 38
    50-59 1,169 21
    60> 121 2
    JUMLAH 5,722 100

Lampiran

Tiada Lampiran.